Showing posts with label Ulul Albab. Show all posts
Showing posts with label Ulul Albab. Show all posts

Tuesday, June 16, 2009

Muhammad Ulul Albab

Oleh FAISAL TEHRANI


BAGAIMANA Mario Chavez ingin menjelaskan satu persatu apa yang meniti dalam hidupnya sebelum dia bertemu cahaya?

Begini, dia seorang arkitek. Mario mencari idea baharu untuk dibangunkan sebagai seorang juru cipta. Dia menjelajah sampai ke Eropah, sehingga ke Timur Tengah kemudian menyinggah di Asia Jauh. Dia ingin menegakkan sebuah binaan yang indah di Darwin. Sebuah bangunan yang berbeza.

“Musim di sini hanya ada dua, kering atau basah.” Majikannya mengingatkan.

Mario menghela nafas, memicit dagu yang terbelah seraya mengesip mata seperti yang selalu dilakukannya ketika dilanda resah.

“Pelanggan mahukan kelainan. Carilah. Pergi ke mana pun. Cari bentuk yang munasabah.” Tambah majikannya lagi.

Demikianlah bermulanya Mario Chavez mencari-cari. Berkelana mencari ilham sebegitu jauh.

Sehingga dia bertemu seorang pelukis wanita yang sudah agak berusia. Pelangi namanya. Sungguh istimewa nama itu. Warna. Warni. Serasi dengan minat dan kerjanya sebagai pelukis. Pelangi ditemui di Bali dalam satu pameran yang dianjurkan di Ubud. Kebetulan sekali Mario sedang merayau, konon ingin mencambah minatnya kepada seni bina Bali yang bergapura. Tetapi matanya tertangkap keindahan siri lukisan Pelangi.

Pelukis itu bermata kuyu mempesona. Selendangnya merah garang. Bibir pula berulas basah. Meski sudah agak berumur, Pelangi kelihatan seperti jalur-jalur warna yang turun ke bumi setelah titis hujan ditimpa kesegaran cahaya mentari. Meliuk tubuhnya.

Kala Mario mendekati salah satu siri lukisan ‘Rumah Serambi Melaka’, Pelangi yang suka meladeni pelanggan berpotensi atau penggemar seni catan menghampiri dengan gemalai.

Pelangi tersenyum. “Anak muda. Namamu Muhammad Ulul Albab.”

Mario berkerut. Pelangi menatap pemuda awal 30-an yang agak nipis rambutnya. Pemuda itu rendah, tetapi otot sasanya terbit di mana-mana. Mata kecil Mario seperti terancam dan penuh waspada. Pelangi serasa liar dan predator.

“Apa?”

“Muhammad Ulul Albab. Namamu.”

Mario ingin gesit menafikan. Mahu memberi nama sebenarnya tetapi terasa kekok langsung terpegun dengan kejelitaan wanita yang mungkin sebaya ibunya.

“Saya pelukisnya. Pelangi nama saya.” Pelangi memperkenal diri.

Mario tidak menghulur tangan. Mungkin dia wanita muslim yang taat kepada hukum.

“Pencinta catan?”

Mario menggeleng. Galeri berhawa dingin di tengah Ubud terasa bergelora dengan gelombang warna lembut Pelangi.

“Saya arkitek. Mencari ilham. Binaan ini indah.”

Pelangi ketawa, menutup mulutnya dan bersuara. “Semua tentang Melayu indah Muhammad Ulul Albab.”

Mario menelan air liur. Mengapa nama itu dipantakkan kepadanya. Dia ingin bertanya. Tetapi serasa ia mungkin satu perangkap godaan yang disengajakan.

“Ini binaan Melayu?”

“Uhhhuuu.” Sahut Pelangi menggumam. “Kamu tahu Melayu?”

Mario memandang Pelangi yang kian tersenyum. Sungguh, jika Pelangi masih muda Mario tidak silu segan ingin mengenalinya. Pun, di usia begitu masih ada sisa keayuan seorang wanita Melayu berbaki. Bukankah senja adalah saat terbaik dalam satu hari?

Mata Mario meniti dari satu lukisan ke lukisan lainnya. Mario meneliti. Rumah Serambi Melaka itu punya dua belas batang tiang utama pada sebuah rumah ibu. Tiang-tiang itu, ada enam batang tiang serambi yang naik separas, dan enam batang tiang panjang. Tiang tersebut semuanya menyentuh ke kayu alang panjang. Pun kelihatannya tiang-tiang gantung tersebut tidak termasuk sebagai tiang induk. Tiang-tiang induk, dua belas batang semuanya pada rumah ibu itu jika ditelek dari arah hadapan rumah seperti kelihatan sebanyak tiga baris, dan setiap barisan terdiri empat batang tiang.

“Ini rumah?" Tanya Mario kebodoh-bodohan.

Pelangi mengenyit mata. Tajam menikam ke ulu-ulu hati. “Boleh jadi apa sahaja menurutmu.”

Mario menggetap bibir. Berkocak naluri kelakiannya dihampiri Pelangi.

“Ini rumah ibu. Di sebelah hadapan ada ruang serambi. Kadang ia beranjung, di belakangnya pula terletak ruang khas, juga ruang bilik. Nun, itu di belakang ruang dapur dengan pelantar yang terdedah. Ruang dapur jangan ada tulang perabung. Cukup dengan tutup bumbung berbentuk pisang sesikat atau bumbung bersoto.” Pelangi menjelaskan. Jari-jemarinya panjang sekali. Bau harum wangian Pelangi menebar menusuk deria bau Mario.

Mario terasa canggung seketika. Serasa perbendaharaan dan pengetahuan seni binanya amat cetek. Dia tertarik akan ruang pelantar yang dibiar terdedah kepada hujan dan panas. Dia membayangkan ruang tersebut boleh sahaja menggunakan lantai simen yang kedudukan lantainya diperendah dari lantai rumah ibu, dan lantai ruang khas di rumah tengah.

Memukau

Pelangi menunjukkan lukisan yang lain, tergantung memukau. “Lama dulu, sebelum kami mengadaptasi kekuatan luar, rumah serambi Melaka ikut menggunakan tangga kayu yang bertanggam. Ia diikat dengan rotan. Kepesatan perdagangan Melaka dan benua China membolehkan tangga batu bertampal dengan jubin manca corak.”

Mata Mario halus cekap menekuni tangga-tangga yang dilukis dengan cermat lagi cekatan. Aneka warna, ujar Mario di dalam hati. Cantik. Pelangi di sisi menyambung, “Kata orang tangga batu di rumah serambi Melaka lebih mahal dari binaan rumah itu sendiri.”

Mario membalas dengan senyuman. “Sangat mengkagumkan.”

Pelangi ketawa rendah, bertanya yakin, “Siapa? Saya? Rumah Serambi Melaka? Atau lukisannya.”

Berdebar Mario. “Err… semua.”

Pelangi kian ketawa. “Tamak. Mahu bolot semua?"

Mario ikut ketawa rendah. Dia sudah terpikat, tentunya.

Pelangi merenung Mario. Mata Pelangi tembus ke dalam jiwa. “Mahu mengenal seni Melayu-Islam?"

Mario mengangkat kening. Tanda kurang memahami. Pelangi membacakan ayat 110 surah Ali Imraan yang berbunyi: ‘Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh berbuat kebaikan, dan mencegah dari kemungkaran, serta beriman kepada Allah.’

“Itu memberikan kami bangsa Melayu, bangsa yang berperanan dan berfungsi sebagai umat Islam dalam meneruskan tugas kenabian dan kemanusiaan. Ayat 110 surah Ali Imraan tadi menyeru kami kepada tiga visi. Berbuat kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah.” Pelangi tidak melepaskan renung tajam matanya.

“Hubungannya dengan rumah Melayu ini?”

Pelangi halus tertawa. “Berfikirlah. Orang muda selalu mematikan akal.”

Mario terdiam.

“Tiga visi tadi adalah tema sebenar seni Islam. Namun begitu tidak semua bidang seni dapat menyampaikan ketiga-tiga visi atau tema tersebut. Bidangmu seni bina. Bidangku seni catan. Bidang seni reka bina atau seni catan sebagai contoh tidak dapat memuatkan ‘visi mencegah kemungkaran’ pada produk satu binaan. Juga kurang ruang untukku mengenengahkan visi yang sama pada seni lukisan. Nah, kita masih boleh memuatkan unsur ketiga iaitu transendensi yakni beriman kepada Allah dalam hasil kerja kita. Itulah yang terpancar pada Rumah Serambi Melaka dengan dua belas batang tiang pada rumah ibunya.” Pelangi menggetap bibir, merenung Mario bagai seorang wanita menggerami pemuda idamannya.

Mario menelan liur.

“Rumah ibu itu letak duduk kekuatan agama. Dapur menganjur ke belakang dalam keadaan terbuka kerana ia pintu rezeki.” Pelangi menunjukkan sebuah catan lain.

“Ini semua punya maksud? Sebagai lambang?" Mario bersuara.

Pelangi angguk. “Keimanan atau transendental juga penuh struktur dan apabila ia melibatkan seni ia muncul tampil menerusi simbol atau lambang yang juga abstrak. Rumah Melayu itu juga hasil seni yang banyak simbol. Kerana melalui simbol seni, manusia ulul albab yang merenung hikmah dapat diangkat kembali ke fitrahnya sebagai makhluk yang semulia-mulianya, dan bermartabat manusia.”

Falsafah seni bina apakah ini yang bertemu dari satu sumber yang sama. Sumber langit. “Bagaimana kita err saya dapat mengungkap setiap simbol yang ada ini?" Mata Mario menagih pengetahuan dan penafsiran.

Pelangi tiba-tiba mengeraskan suara. Bagaikan itulah mesej yang ingin diteguhkan. “Kau akan mampu membuka semua pintu. Tugasmu memang membuka pintu-pintu yang tertutup supaya cahaya menerobos masuk, dan mengungkap lambang yang tidak diketahui orang supaya terbuka menjadi tatapan. Itu tugasku. Tugasmu juga. Tugas kita memaknakan rahsia. Kita mungkin disalahertikan tetapi ya, kita tetap pembuka jalan dan ruang.”

Kemudian mendadak; Pelangi digamit seseorang. Pembeli mungkin. Mario beredar memerhati catan lain. Sosok Pelangi yang montok sudah kabur entah di mana.

Sehingga petang Mario di situ. Sehingga pengunjung seorang demi seorang menghilang. Pelangi tidak muncul. Mario bertanya kepada seorang lelaki menunggu kaunter di ruang bawah galeri.

“Ibu Pelangi? Ohh dia seperti pelangi. Kalau hujan, nyaris ia tumbuh di langit. Atau di mana-mana. Langit terbentang luas ke timur dan barat.” Balas lelaki itu seakan-akan ingin memancing teka-teki. Seakan-akan bermain-main bahasa yang niatnya membingungkan Mario.

Begitulah Mario mendapat dua cahaya. Pertama, ilham sebuah binaan yang akan ditegakkan di Darwin. Yang akan menjadikannya arkitek tersohor seantero dunia kelak. Cahaya kedua, ialah namanya: Muhammad Ulul Albab.

Puas Mario menjejaki Pelangi. Tidak dia bertemu. Dalam satu perjalanan ke Kuala Lumpur, dia menyinggah Galeri Petronas. Seorang staf galeri menjelaskan, “Ibu Pelangi tidak menetap di Kuala Lumpur. Ia akan turun di setiap penjuru bumi jika ada keperluan.”

Mario berkerut. Dilanda sihir antara real dan magis.

Usaha-usaha mendapatkan maklumat lanjut menemui kebuntuan. Pelangi malah tidak dapat dicari di laman dunia maya. Sungguh aneh, seorang pelukis terkenal begitu memencil diri tidak mahu dihubungi. Apa latar Pelangi. Sejarahnya ingin digali.

Rindu

Pun Mario melepas rindunya kepada misteri Pelangi dengan mencari ‘Muhammad Ulul Albab’. Tentu ada sebab musabab dia diberi nama sebegitu dengan selamba lagi spontan. Dia ingat kata Pelangi ‘tugas kita memaknakan rahsia’.

Mario mencari, sehingga dia membaca al-Quran. Tentang tugas cendekiawan atau ulul albab. Tuhan menjelaskan kedudukan ulul albab dalam masyarakat pada ayat 269 surah al-Baqarah: “Allah memberikan hikmah kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang diberi hikmah, sungguh telah diberi kebajikan yang banyak. Dan tak ada yang dapat mengambil pelajaran kecuali ulul-albab.”

Hikmah. Mario bergalauan rasa.

Allah berfirman lagi dalam surah Yusuf, ayat 111: “Mereka adalah orang yang boleh mengambil pelajaran dari sejarah umat manusia.”

Iktibar sejarah. Mario tertarik dengan sebuah kitab suci yang menggesa pembacanya mengambil pengajaran dari masa lampau. Untuk mengenal masa lampau rumah Melayu itulah dia berulang ke Malaysia. Mario mahu mengenal bentuk senibina rumah Melaka yang asal. Dia juga percaya rumah Serambi Melaka yang wujud di zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka hampir tiada. Apatah lagi sejarah Malaysia melangkaui era penjajahan Portugis, Belanda dan Inggeris. Kerana Pelangi, Mario ketagihan membaca Sulalatus Sulatin yang dikarang oleh Tun Sri Lanang. Naskah tua pada awal abad ke 17 itu merakam sedikit perihal seni bina istana Sultan Mansur Syah, Melaka. Pada hemat Mario seni bina istana tersebut adalah kekuatan adaptasi dan kehalusan teknologi; bergabung dengan kebijaksanaan melakukan kombinasi antara seni bina tempatan dan seni bina luar. Ada unsur yang diambil dari China, ada pengaruh seni bina serumpun yang diterap supaya menjadikan seni bina istana tersebut menyeluruh, kaffah.

Melayu itu ulul albab. Bangsa ulul albab.

Mario terheret. Dia menemukan ulul albab yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran pada 16 tempat. Ulul albab diberikan hikmah, kebijaksanaan, pengetahuan, pemikiran, dan merupakan ahli intelek yang mendapat pelajaran. Kerana itulah ulul albab dapat membuat keputusan dan memberi panduan untuk manusia lain mengenai kehidupan. Ulul albab adalah golongan yang diberi pedoman seperti yang disebutkan oleh Allah dalam surah Ali-Imraan ayat 7: Mereka itulah orang-orang yang mendapatkan petunjuk daripada Allah, dan mereka itulah ulul-albab.

Mario terkesan bahawa ulul albab, adalah kumpulan yang berani memisahkan batil dari yang hak, kemudian memilih yang terbaik dari itu. Allah berfirman dalam surah al Maidah ayat 100: Katakanlah, tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, maka bertakwalah kepada Allah hai ulul albab, agar kamu mendapat keberuntungan.

Serasa ada suara merdu-menawan Pelangi memberitahukan bahawa ulul albab atau cendekiawan yang berilmu itu merujuk kepada mereka yang turut berjuang ‘turun padang’ sambil menyedari ayat 18 surah Ali Imran…wa ulu‘l-‘ilmi qa‘iman bi al-qist, iaitu ‘ilmuan sejati itu tegak bersama keadilan’.

Mario mendapat cahaya. Yang berilmu dan tegak bersama keadilan itulah cendekiawan. Oleh kerana itu cendekiawan dalam Islam ialah ilmuan yang bukan sahaja berilmu tetapi mempunyai peribadi yang sedar, merupakan kuasa pendesak moral dengan tugas utamanya adalah pembebasan dan pencerahan. Terasa bergemaan melanda gegendang, “Ayat 20 hingga 21 dalam surah Yaasin: “Dan dari hujung kota, seorang lelaki berusaha datang, membawa pesan, ‘wahai kaumku, ikutlah para rasul, ikutlah mereka yang tidak meminta upah dari kamu, sedang mereka adalah orang-orang yang terbimbing dengan hidayah Tuhan”.

Mario tidak pernah menemui Pelangi lagi. Dia tidak tahu Pelangi sebenarnya sudah lama ‘allahyarhamah’.

Tetapi Pelangi ada dalam hatinya. Dia membina sebuah binaan indah diberi nama ‘Pelangi’. Ramai kagum dengan binaan tersebut.

“Seperti lukisan.” Kata pelanggan yang menyukai pelan dan struktur‘Pelangi’.

Mario mampu tersenyum.

“Seperti lukisan yang punya rahsia. Yang banyak makna.” Tambah pelanggan itu lagi dalam gamam.

Tidak lama kemudian Mario menganut Islam. Itulah cerita kawan saya bernama Mario. Ya, satu waktu dahulu. Sekarang, namanya Muhammad Ulul Albab.



Gratisan Musik


Topblogs @ iLuvislam


penafatih | Detik hari kelahiran

Saturday, March 28, 2009

Ulul Albab: Pemimpin beragama pelindung rakyat

MUSLIM yang dilatih bertakwa sejak kecil
bakal menjadi pemimpin terbaik pada masa depan.

Tokoh berfikiran tinggi, disertai akhlak terpuji bentuk kekuatan bangsa dan negara

SALAH satu ciri kepemimpinan ialah seseorang tidak akan terlepas daripada pengalaman hidup ketika zaman kanak-kanak, sedangkan kanak-kanak belajar daripada kehidupannya.

Seseorang yang tidak dikenali mencatatkan kata-kata hikmat yang berbunyi seperti ini: "Jika seorang anak hidup dengan bidasan, dia belajar untuk mengutuk; Jika seorang anak hidup dengan permusuhan, dia belajar untuk bergaduh; Jika seorang anak hidup dengan cemuhan, dia belajar untuk ragu; Jika seorang anak hidup dengan aib, dia belajar untuk berasa bersalah; Jika seorang anak hidup dengan toleransi, dia belajar untuk bersabar; Jika seorang anak hidup dengan galakan, dia belajar untuk yakin; Jika seorang anak hidup dengan pujian, dia belajar untuk menghargai; Jika seorang anak hidup dengan kesaksamaan, dia belajar untuk adil; Jika seorang anak hidup dengan keselamatan, dia belajar untuk percaya; Jika seorang anak hidup dengan persetujuan, dia belajar untuk menyukai diri; Jika seorang anak hidup dengan penerimaan dan persahabatan, dia belajar untuk menemui kasih sayang di dunia ini.



Pemimpin yang beragama dengan agama pemimpin adalah dua perkara yang berlainan. Ketika membincangkan masalah kufu' atau kafa'ah dalam perkahwinan, mazhab Hanafi mempunyai enam ciri kufu' antaranya 'beragama' di samping 'Islam'. Seorang calon suami mestilah 'beragama' jika calon isterinya juga 'beragama'. Beragama di sini dengan pengertian kuat memegang ajaran agamanya. Tapi Islam adalah syarat kufu' bagi calon suami seorang wanita Islam walaupun tidak kuat pegangan agamanya. (Lihat al-Ghandur, al-Ahwal al-Syakhsiyyah).

Agama seorang pemimpin tidak akan mempengaruhi secara signifikan corak kepemimpinannya, tetapi pemimpin yang beragama sebaliknya. Sepanjang sejarah Islam kita dapati ratusan pemimpin Islam yang sememang agamanya Islam tapi hanya beberapa orang yang terserlah kepemimpinannya kerana disebabkan kekuatan dalam berpegang teguh terhadap agama Islam. Pemimpin terbabit ialah baginda Rasulullah SAW, Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Umar bin Abdul Aziz, Harun al-Rashid, Salahuddin al-Ayyubi dan Muhammad al-Fatih.

Dalam sejarah bangsa lain pun kita dapati kepemimpinan yang menonjol daripada pemimpin mereka yang beragama bukan kerana agama mereka. Sebut saja Raja Sejong Taewang dari Korea sebagai contoh, yang berkuasa dari 1418 hingga 1450. Beliau adalah raja keempat Korea dari dinasti Joseon dan salah satu daripada dua raja Korea yang diberi gelaran 'Agung', manakala raja yang lain adalah Raja Gwanggaeto.

Beliau seorang pakar bahasa yang mencipta aksara hangul untuk bahasa Korea, walaupun mendapat tentangan daripada cendekiawan yang dididik dalam cara hanja (China). Beliau juga seorang perencana ketenteraan yang berkesan dan juga penulis unggul. Karangan beliau mempunyai nilai yang tinggi antaranya buku rujukan Dongguk Jeong-un (Kamus Sebutan Tepat Cina-Korea).

Sejong menubuhkan sebuah dewan, Jiphyeonjeon pada 1420. Beliau mengumpul cendekiawan dari seluruh Korea untuk merakamkan sejarah Korea, membuat draf untuk dokumen penting dan menghasilkan buku pelbagai topik.

Sejong juga dipercayai mencipta penyukat hujan, jam air dan sundial, iaitu alat yang menunjukkan waktu dengan bayangan matahari. Beliau pernah mengisytiharkan bahawa seseorang yang bersalah mesti menjalani sekurang-kurangnya tiga kali pusingan perbicaraan di mahkamah sebelum hakim boleh membuat keputusan.

Keberhasilan Sejong dalam mencipta sendiri sejarah kepemimpinan yang berkesan dalam sejarah Korea tidak luput daripada pegangannya yang kuat terhadap prinsip konfusianisme bahkan dikatakan beliau seorang pakarnya.

Keberagamaan seorang pemimpin akan menyinarkan kewibawaan bukan agamanya. Secara umum terdapat tiga aspek utama, ciri-ciri pemimpin berwibawa, iaitu kelebihan dalam penggunaan pemikiran yang rasional; kelebihan dalam rohaniah (spiritual) dan kelebihan dalam badaniyyah (fizikal).

Menurut al-Farabi, bapa psikologi moden, pemimpin yang unggul adalah seorang yang berfikiran tinggi, memiliki sifat mulia serta akhlak terpuji dan fizikal yang sempurna. Beliau menyebutnya sebagai al-rais al-awwal (pemimpin ulung).

Terdapat 12 ciri pemimpin yang berwibawa diketengahkan oleh al-Farabi, iaitu:

l Kemampuan fizikal � Mempunyai tubuh badan yang sempurna, sihat dan bertenaga atau berkemampuan supaya dapat menjalankan tugasnya dengan mudah.

l Daya ingatan yang kuat � baik hafalan (ingatan) mengenai sesuatu yang dia faham, lihat dan juga bukan seorang yang pelupa.

l Kecerdasan akal � Baik kefahamannya dan dapat menggambarkan setiap sesuatu yang dilafazkan atau diucapkan, serta mengetahui apa yang harus dibuat.

l Bijaksana � Bijaksana dan cerdik apabila mendengar sesuatu. Walaupun dengan reaksi saja, dia boleh memahami sesuatu perkara.

l Cintakan ilmu pengetahuan � Sangat suka atau berminat pada ilmu pengetahuan, senang menerima ilmu dan tidak berasa penat dalam menimba ilmu pengetahuan.

l Luas pengetahuan dan peka dengan sesuatu situasi semasa � Dapat membuat penjelasan atau huraian yang jelas berhubung dengan sesuatu perkara yang berlaku secara cepat, jelas dan tepat.

l Bersederhana � Tidak bersikap buruk, lebih-lebih lagi dalam hal mengenai makan minum dan hubungan kelamin serta menjauhkan diri daripada melakukan sesuatu yang hanya untuk bersuka-suka.

l Cintakan kebenaran � Memiliki sifat kebenaran dan mencintai kebenaran dan membenci sifat sebaliknya.

l Berhemah tinggi � Memiliki jiwa besar atau berhemah tinggi hingga dapat mengelakkan diri daripada melakukan perkara remeh-temeh.

l Tidak mencintai kekayaan dan tiada kepentingan diri � Tidak berminat untuk mengumpulkan wang ringgit dan segala bentuk kekayaan dunia yang lain.

l Adil kepada semua pihak � Bersikap prokeadilan dan antikezaliman dan penindasan, tidak mudah dipengaruhi oleh perkara yang buruk, sebaliknya mudah diseru kepada kebaikan, keadilan dan seumpamanya.

l Berani dan berazam tinggi � Mempunyai keazaman yang kuat dan berani menghadapi sesuatu perkara yang dirasakan perlu dilakukan dan tidak mudah lemah semangat atau jiwa.


Al-Mawardi pula menjelaskan beberapa kriteria seorang pemimpin yang berwibawa, iaitu seseorang yang adil dengan erti kata yang sebenarnya dalam semua tindakan sama ada pada dirinya atau kepada orang lain; mempunyai ilmu agama (faqih) yang sempurna hingga melayakkan berijtihad dalam sesuatu perkara apabila dia perlu berbuat demikian; mempunyai anggota badan yang sempurna supaya dia dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan lancar; memiliki pancaindera yang sempurna dari segi penglihatan atau pandangan dan pendengarannya kerana kecacatan dalam salah satu daripadanya boleh mengurangkan keupayaannya mengendalikan sesuatu urusan negara; mempunyai fikiran yang baik supaya dapat mengatasi segala masalah rakyat dan mengendalikan kebajikan mereka; bersikap berani berjihad memerangi musuh kerana mahu menjamin keselamatan rakyat. (Lihat Dr Raja Roslan, dkk, Peranan Komunikasi Kepemimpinan Diri dan Organisasi Dalam Perspektif Islam)

Mungkin kita boleh menambah satu kata lagi dalam kata-kata hikmah pada permulaan tulisan ini dengan berkata: "Jika seorang anak hidup dengan agama, dia belajar untuk mencari kedamaian" atau dalam perkataan lain, pemimpin yang beragama akan membawa umat kepada kedamaian. Wallahu a'lam.

INFO: Pemimpin ideal pada pandangan Al-Mawardi
  • Adil dalam semua tindakan sama ada pada dirinya atau kepada orang lain.
  • Mempunyai ilmu agama (faqih) yang sempurna hingga melayakkan berijtihad dalam sesuatu perkara apabila dia perlu berbuat demikian.
  • Mempunyai anggota badan yang sempurna supaya dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lancar.
  • Memiliki pancaindera sempurna dari segi penglihatan atau pandangan dan pendengarannya.
  • Mempunyai fikiran yang baik supaya dapat mengatasi segala masalah rakyat dan mengendalikan kebajikan mereka.
  • Bersikap berani berjihad memerangi musuh kerana mahu menjamin keselamatan rakyat.


sumber : [ Berita Harian ]
iLuvislam.com Top Blog

Bacaan Popular