Monday, April 7, 2008

RASULULLAH DALAM INGATAN

Maha Suci Allah yang memberikan kita hidayah penerang kegelapan, mengaruniakan nikmat Iman dan Islam kepada kita yang merupakan sebaik-baik nikmat. Maha Suci Allah mengutus Muhammad Bin Abdullah sebagai imam para nabi, pahlawan yang perkasa, penguasa yang adil, guru yang lemah lembut, pelindung yang penyayang, qudwah hasanah untuk manusia. Maha Suci Allah yang masih memberikan kita nafas di hari penuh bermakna ini untuk kembali menghayati, membersih diri, mengenang kembali, mengatur strategi, agar berjaya menjadi umat Rasulullah SAW yang diminumkan air dari tangannya yang mulia, diberi syafaat tatkala timbangan kita dikira.

Maha Suci Allah swt yang berfirman 'Wa rafa'na laka zikrak' yang bermaksud 'Dan Kamilah yang meninggikan peringatan Mu (Rasulullah SAW)' –Surah An-Nasyrah

Walahpun telah hampir 1417 tahun Baginda Rasulullah SAW telah meninggalkan kita, namun beliau masih dikenang dan akan terus dikenang sampai bila-bila. Kita sebagai umat Islam tidak dapat melupakan Baginda Rasulullah SAW yang telah menyelamatkan kita dari gelap jahiliyyah walaupun sesaat. Bagaimana bisa kita lupakan Baginda SAW sedangkan setiap solat kita berselawat keatasnya. Bagaimana mungkin kita lupakan Baginda SAW yang begitu cintakan umat sehingga ke hujung hayat Baginda. Bagaimana mungkin kita lupakan Baginda SAW sedangkan Beliaulah yang telah berkorban jiwa dan raga demi menyelamatkan umatnya. Bagaimana mungkin kita lupakan Baginda SAW yang telah mengajarkan kita ma'iyyatullah tatkala berkata kepada Abu Bakar As-Syiddiq 'La tahzan innallaha ma'ana' 'Janganlah engkau takut sesungguhnya Allah SWT bersama-sama kita' yang sedang ketakutan di Gua Tsur dalam perjalanan ke Madinah.

Bagaimana mungkin kita lupakan Baginda SAW yang telah mengajarkan erti sabar tatkala Beliau mengikatkan perutNya dengan dua ketul batu untuk menahan lapar di peperangan khandak. Bagaimana mungkin kita lupakan Baginda SAW yang mengajarkan erti kebersamaan tatkala mengajak semua Muslimin ikut bersama Rasulullah SWT menikmati seekor kambing yang dengan mukjizatNya tak kunjung habis walau dijamah seluruh muslimin ketika itu. Bagaimana mungkin kita lupakan Baginda SAW sedangkan Bagindalah yang mengajarkan erti qona'ah tatkala Umar Al-Khattab RA menangis melihat bekas dibadan Baginda SAW akibat tidur tanpa alas sedang kaisar Roma dan Parsi ketika itu hidup dalam kemewahan lalu Baginda SAW menjawab "Apakah engkau meraguiku, mereka adalah golongan yang didahulukan nikmat di dunia. Sungguh dunia bagiku adalah seperti pengembara yang berteduh dibawah sebatang pohon". Bagaimana mungkin kita lupakan Baginda SAW yang mengajarkan kita budi pekerti tatkala Baginda SAW menziarahi wanita yahudi yang sakit padahal wanita itu melempari Baginda dengan kotoran setiap kali Baginda ke Masjid. Bagaimana Mungkin kita lupakan Baginda SAW yang telah mengajarkan kita bagaimana berlaku adil tatkala berkata "Dimana aku esok? Dimana aku esok?" ketika Baginda sakit dirumah Maimunah Radiallahu 'Anha agar isteri-isteri Baginda memperingatkan Baginda untuk tetap berlaku adil dan berada di rumah isteri yang sepatutnya walaupun baginda sedang sakit. Bagaimana mungkin kita lupakan Baginda SAW sedangkan Bagindalah yang telah mengajarkan kita tawaddu' dan ringan tulang tatkala beberapa sahabat membahagi-bahagikan tugas untuk menyiapkan makanan dan setelah semua mendapat tugas Baginda berkata "dan aku akan mencari kayu api." Bagaimana mungkin kita lupakan Baginda yang telah mengajarkan erti disiplin tatkala berkata "Istaqim ya sawad!" "Berdirilah dengan lurus dalam barisan wahai sawad !". Bagaimana mungkin kita lupakan Baginda SAW yang telah mengajarkan kita setiap hal dan sisi dalam kehidupan manusia.

Baginda SAW pernah berkata aku ingin sekali (Baginda menggunakan perkataan wadadtu yang merupakan keinginan yang lahir akibat cinta yang mendalam) untuk bertemu dengan saudara-saudaraku lalu para sahabat berkata tidakkah kami tergolong dalam saudara-saudaramu, baginda berkata kalian adalah sahabat-sahabatku namun yang aku maksud adalah mereka yang beriman pada masa akan datang setelah kewujudanku tiada lagi.


Begitu besar cinta baginda SAW terhadap kita, namun apakah Baginda bertepuk sebelah tangan. Bagaimanakah kita yang mengaku umattnya, apakah kita mencintai Baginda SAW lebih dari segala-galanya seperti yang Baginda SAW ajarkan. Bukankah manusia ketika mencintai seseorang selalu ingin dan berusaha untuk bertemu dengan kekasih mereka, apakah kita ingin dan berusaha untuk bertemu kekasih kita yang agung?

Sunday, April 6, 2008

Adik Jangan Nangis, Petang Nanti Kita Main Golf


Persembahan nasyid murid SKKK2 mengingatkan aku masa dok Maahad dulu,
sewaktu aku join Nur Muhammadi...
Lantas ku teringatkan kawan2 ku dulu iaitu
Zaki, Afham(Nur Irsyad), Nik, Fazli (UNIC),Aman,Subhi dan lain-lain...


Hari ini aku balik semula ke Sekolah setelah banyak minggu aku tertumpu kepada Program Kem Perkhemahan Badan Uniform anjuran Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Kelantan. Kepulangan aku untuk bekerja semula sebagaimana rutin biasa aku bekerja sebagai Juruteknik ICT di sini tidak penuh juga, kerana ada hari-hari tertentu aku terpaksa cuti kerana aku sekarang sedang menduduki Peperiksaan Akhir Semester di Universiti Terbuka Malaysia (OUM). Rindu juga kat sekolah ni selepas meninggalkannya berminggu-minggu.. Maklumlah, aku anggap menjadi urusetia di kem perkhemahan juga menjadi sebahagian dari tanggungjawab ku apabila diamanahkan oleh Jabatan Pelajaran. Cuma apa yang mengharukan hari ini, bila aku datang ke sekolah, aku dikerumuni oleh murid-murid yang selalu berurusan, bergurau dengan aku...

" Cikgu.. lamalah tak jumpa ngan cikgu.."
" Cikgu..cikgu pegi mana?? rindu ke cikgu..."
" Cikgu....cikgu tok sey ajar doh kow gendang ko kita??"

Cikgu?? semua mesti tertanya-tanya, kenapa aku dipanggil cikgu... yang pasti akulah Juruteknik pertama di dunia dipanggil cikgu... tapi aku tak tahu dimana bermula.... Seingat aku, Seawal kedatangan ku dulu ke sekolah ini, murid-murid memanggil aku pakcik (tua sangat ke??) , kemudian bila aku memakai kot juruteknik , mereka panggil aku Tuan (naik pangkat skit) ... Kemudian sebahagian murid-murid tak puas hati, dia jumpa aku dan bagitau aku bahawa mereka nak selaraskan untuk memanggilkan aku dengan panggilan cikgu Zul... huhuhu.. Sebagai menghormati kanak-kanak berstatus pelajar ini, aku mengiyakannya... sehingga ke hari ini, aku lebih mesra dipanggil cikgu zul.. kalau anak-anak cikgu, mereka terlebih mesra dengan memanggil aku abe Joe... ikut sajalah..ntah kenapa aku suka sangat bermesra ngan kanak-kanak kat sekolah ni.. sebahagian dari umurnya 7 tahun kebawah , aku berkomunikasi secara bergurau dan bermesra sehingga mereka tak ada jurang ngan aku.., dan bagi yang berumur 9 tahun ke atas pula aku didik cara disiplin , arahan dan tanggungjawab dan jadikan aku kawan mereka yang boleh bergurau tapi tidak boleh pijak kepala (kurang ajar)... disiplin yang diterapkan aku berikan semasa melatih mereka bernasyid, dalam majlis rasmi atau program kem motivasi.

Kalau rujuk cara Rasulullah pun, baginda s.a.w menyatakan ada empat tahap mendidik anak iaitu:

TAHAP PERTAMA - Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (~6 tahun). Hendaklah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang.

TAHAP KEDUA - Anak berumur 7 tahun sehingga baligh (~14 tahun). Hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, displin dan beri tanggungjawab.

TAHAP KETIGA - Anak berusia 15 tahun hingga dewasa (~21 tahun). Hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi tidak bertentangan dengan syariat.

TAHAP KEEMPAT - Anak berusia lebih daripada 21 tahun. Hendaklah para ibu bapa memberi mereka kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat. Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakan mereka terkawal.

Begitulah pendekatan yang digunakan oleh junjungan besar kita. Malah kita semua sedia maklum bahawa Rasulullah s.a.w merupakan seorang insan yang sangat-sangat kasihkan kanak-kanak. Alhamdulillah sepanjang aku bersama kanak-kanak pelajar ini, banyak yang aku dapat belajar.
Gaya Macho budak nasyid

Pernah sekali dalam pemilihan nasyid, aku ingin memilih seorang murid dari kelas 6 yang terakhir, ustazah yang turut sama dalam pemilihan ahli nasyid ini risau dan tidak bersetuju dangan cadangan ku kerana dia tak mahu melibatkan murid yang bermasalah. Bagi aku pelajar yang terkebelakang bukannya bermasalah. Cuma kaedah didikannya mungkin berbeza. Mereka mungkin tak dapat tumpu pada pelajaran semasa dalam kelas, tetapi mereka cekap mengendalikan tugasan-tugasan kemahiran seperti berkebun, menukul dan sebagainya , apatah lagi bila disuruh memukul gendang lagi mantap... dan aku cuba buktikan , sememangnya terbukti.

Menerima cenderamata sebagai Naib Johan Nasyid

Merpati sejoli ?? kedua-dua budak ni juara Hafazan


Pertandingan nasyid bawah bimbinganku mendapat tempat kedua dari 12 kumpulan nasyid yang lain. Dengar khabar juri dah letak keputusan bahawa kumpulan nasyid sekolah aku yang akan mendapat johan.. Malangnya ada "rasuah" skit dari kumpulan lain yang menyebabkan kumpulan ku di letakkan tempat kedua. Beza markahnya dikatakan berbeza hanya satu mata , dia 146 dan kumpulan aku 145.. dalam hati sedih gak kerana kecil-kecil lagi murid-murid dah nampak perangai orang yang tua-tua buat camni...Nak jadi hakim, benda yang penting adalah keikhlasan dan kejujurannya ...Kalau ada budaya tak baik camni, baik tak yah buat pertandingan. Tentukan terus siapa yang menang..kan?? Apa-apapun saya bagitau murid-murid bimbinganku bahawa mungkin kedudukan kita berada di tempat kedua, anggaplah itu ketentuan Allah. Mungkin itu pilihan terbaik dari Allah. Sebab murid-murid yang join nasyid ini sudah berapa lama tidak masuk kekelas. Mungkin takdir mereka di tempat kedua ni, sebab Allah suruh tumpu pada pelajaran semula. Itulah nasihat aku kepada mereka. Hari selepas pertandingan nasyid , aku di arah ke tapak perkhemahan di Taman Rehlah Pasir Putih sebagai urusetia Kerohanian untuk Perkhemahan Badan Uniform Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan. Setiap waktu maghrib dan subuh, aku di berikan tugas sebagai pengkuliah menggunakan inovasi paparan LCD. hmm.. sekurang-kurangnya, minat peserta wujud dengan adanya teknologi tambahan itu.

Alhamdulillah.. pengalaman ku berinteraksi dengan murid-murid di sekolah dan di perkhemahan sekurang-kurangnya mengajar aku tentang bagaimana cara aku menjadi pembimbing yang mampu mempunyai laras yang sesuai apabila berbicara dengan mereka.
Berpossing dengan jurulatihnya yang hensem

Still berpossing..maklumlah hensem..huhuhu


Sebab kadang-kadang, apabila kita dah terbiasa berbicara dan berinteraksi dengan golongan dewasa, dengan laras bahasa yang sesuai dengan golongan tersebut, sukar kadang-kadang kalau kita nak berinteraksi dengan kanak-kanak dalam jumlah yang ramai kalau tidak di latih berinteraksi dengan kumpulan kanak-kanak itu.

Ibarat kata, kalau kanak-kanak menangis, adakah kita nak redakan tangisan kanak-kanak tu dengan memujuk supaya jangan menangis, nanti petang karang, kita pi main golf......

Korang jangan sedih tak dapat johan... jom pi KFC..
ustazah-ustazah yang belanja.. cikgu just tumpang sekaki...

Yang menaja makan di KFC, Ustazah Najmah dan Ustazah Asliza,
Aku.. tukang rasa..

Selepas di serang raksasa budak SKKK2...

"Cikgu, kenapa tak muat nak dok atas kuda ni... yeeehaaa.."
Cikgu : " ngko tu sedor diri skit.. ngko tu dah besor..jangan ngade nak jadi ingusan cam
budak darjah satu...tampor karang!! "

UMMU SALAMAH | ‘Zaadur Raakib’ (Penyantun Musafir)

Ummu Salamah; nama yang tercatat dalam Sirah Nabawiyyah. Seseorang yang tidak sepatutnya kita tidak kenali. Ummu Salamah adalah merupakan anak kepada keluarga bangsawan. Ayahnya adalah merupakan pemimpin Bani Makhzum1 yang dihormati dan terkenal sebagai seorang yang amat pemurah. Dia digelar orang dengan gelaran ‘Zaadur Raakib’ (penyantun musafir) kerana setiap musafir yang datang ke rumahnya atau berjalan bersama-sama dengannya akan diberinya hadiah bekalan.

Suami Ummu Salamah, Abdullah bin Abdil Asad, adalah termasuk dalam kelompok Assabiquunal Awwalun2. Yang mendahuluinya masuk Islam adalah Abu Bakar As-Siddiq dan beberapa orang yang lain lagi. Ummu Salamah juga masuk Islam bersama-sama suaminya, oleh itu beliau juga tergolong dalam kelompok Assabiquunal Awwalun.

Nama Ummu Salamah yang sebenarnya adalah Hindun Binti Abi Umayya. Dia dipanggil ‘Ummu Salamah’ kerana anaknya bernama Salamah. Tetapi kemudiannya, gelaran itu lebih terkenal daripada namanya yang sebenar.


Apabila berita kemasukan Ummu Salamah dan suaminya ke dalam Islam telah tersebar, kaum Quraisy sangat marah dan melancarkan pelbagai bentuk serangan dan penderaan bagi memaksa mereka untuk kembali meninggalkan Islam. Tetapi seksaan-seksaan yang mereka terima tidak sekali-kali membuatkan mereka undur daripada Islam. Apabila penyeksaan yang dilakukan oleh kaum kafir Quraisy bertambah dahsyat, Rasulullah s.a.w. telah mengizinkan kaum muslimin untuk pergi berhijrah ke Habsyah (Etopia)3. Ummu Salamah dan suaminya adalah antara orang yang pertama pergi berhijrah, meninggalkan segala harta dan kemuliaan mereka di belakang demi mencari ketenangan dan keredhaan Allah semata-mata.

Setelah agak lama mereka berada di Habsyah, kerinduan terhadap tanah air mereka semakin lama semakin menebal. Sehingga pada suatu ketika, apabila mereka mendengar bahawa sudah semakin ramai orang yang memeluk agama Islam, termasuklah ‘Umar Al-Khattab, mereka berasa cukup gembira. Kemasukan orang seperti ‘Umar, dan juga Hamzah, pastinya dapat mengimbangi keganasan kaum kafir Quraisy. Lalu Ummu Salamah dan suaminya pulang ke Mekah. Tetapi, ternyata jangkaan mereka bahawa penyeksaan kaum kafir Quraisy sudah menurun, meleset.

Penyeksaan yang dilakukan oleh pihak kafir Quraisy malahan semakin dahsyat, semakin menguji ‘aqidah dan keimanan mereka. Namun, mereka tidak sekali-kali berganjak daripada Islam. Sehinggalah ke saat apabila Rasulullah memerintahkan untuk kaum muslimin berhijrah ke Madinah, Allah S.W.T. masih lagi memberikan ujian yang cukup hebat untuk Ummu Salamah dan Abu Salamah.

Apabila tiba waktu untuk berhijrah, Abu Salamah telah mempersiapkan seekor unta sebagai kenderaan. Ummu Salamah dan anak mereka dinaikkkan oleh Abu Salamah ke atas unta, dan beliau sendiri menuntun unta itu berjalan tanpa henti, tanpa menoleh lagi ke belakang. Apabila hampir sampai ke sempadan wilayah Mekah dan Madinah, beberapa orang dari Bani Makhzum menghalang mereka.

Mereka berkata: “Hai Abu Salamah! Anda boleh meninggalkan negeri ini. Tetapi isterimu jangan dibawa. Kami tidak dapat membiarkan anda membawanya ke mana-mana, kerana dia adalah dari suku kami.”


Lalu mereka pun menyerang Abu Salamah. Ummu Salamah dan anak mereka dirampas oleh kaum Bani Makhzum daripada Abu Salamah. Apabila Bani Asad, suku Abu Salamah mendengar tentang peristiwa itu, mereka pun menjadi marah.Mereka berkata, “Demi Allah! Kami tidak dapat membiarkan kamu membawa anak kecil itu (Salamah). Kamu boleh merampas ibunya daripada suaminya, tetapi anak kecil itu adalah anak cucu kami. Kerana itu kami lebih berhak daripada kalian.”

Anak Ummu Salamah telah direbutkan oleh kedua-dua suku ini, sehingga terkehel tangannya. Akhirnya keluarga Ummu Salamah terpisah. Suaminya terus ke Madinah untuk menyelamatkan agama dan dirinya. Anak mereka dirampas oleh Bani Asad, dan Ummu Salamah sendiri ditahan oleh Bani Makhzum. Ummu Salamah dijaga ketat di tempat Bani Makhzum, dan dirinya cukup menderita kerana terpisah daripada anak dan suami tercinta. Setiap hari, Ummu Salamah menangis mengenangkan nasibnya, serta anak dan suaminya.

Lebih kurang setahun lamanya, Ummu Salamah ditahan oleh kaumnya. Sehingga pada suatu hari salah seorang saudaranya kasihan melihatnya. Lalu saudaranya itu pergi kepada kaumnya dan berkata: “Sampai bilakah kalian akan memperlakukan perempuan seperti itu, tersiksa seorang diri? Kalian pisahkan dia daripada suami dan anaknya. Alangkah kejamnya kalian!”


Akhirnya mereka pun mula berlembut dan seterusnya mengizinkan Ummu Salamah untuk pergi mengikuti suaminya. Tetapi Ummu Salamah tidak dapat ke Madinah, kerana anaknya masih lagi ditahan di Mekah. Ummu Salamah tidak dapat makan dan minum, tidak dapat tidur, kerana mengenangkan nasib anaknya yang tidak diketahuinya. Akhirnya, beberapa orang yang kasihan dengan Ummu Salamah pergi berbincang dengan kaum Bani Asad, sehingga akhirnya mereka menyerahkan kembali Salamah kepada ibunya. Lalu si ibu pun berangkat dengan anaknya berdua ke Madinah.

Sampai di Madinah, keluarga Abu Salamah bersatu semula. Mereka berasa sangat bahagia dan gembira. Tetapi, ujian Allah terus datang kepada hamba-hamba-Nya yang cinta kepada-Nya. Rumahtangga Ummu Salamah teruji lagi. Perang Badar terjadi. Abu Salamah turut pergi berperang, dan beliau pulang dengan selamat membawa kejayaan di pihak umat Islam.

Selepas itu, terjadi pula perang Uhud. Abu Salamah turut pergi berperang. Kali ini, tentera Islam kalah4 dan Abu Salamah pulang dalam keadaan cedera. Beliau berusaha untuk mengubatinya cederanya itu tetapi tidak juga sembuh, malah menjadi semakin teruk. Sehingga sampai ke tahap Abu Salamah hanya mampu berbaring di tempat tidurnya, dijaga dan dirawat oleh Ummu Salamah.

Pada suatu hari ketika Ummu Salamah sedang mengubati suaminya, Abu Salamah berkata, “Ya Ummu Salamah! Saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Apabila seseorang ditimpa sesuatu musibah, hendaklah dia membaca istirja’5, dan berdoa: Wahai Allah, aku berserah diri kepada Engkau berhubung dengan musibah yang menimpaku ini. Wahai Allah! Gantikanlah aku baginya dengan yang lebih baik. Nescaya Allah akan memperkenankan.’” kata beliau.


Cukup lama Abu Salamah sakit di tempat tidurnya, sehingga pada suatu hari apabila Rasulullah s.a.w. datang melawat, Abu Salamah meninggal dunia. Rasulullah menutup mata sahabatnya itu dengan tangannya yang suci. Kemudian beliau memandang ke langit dan berdoa: “Wahai Allah! Ampunilah Abu Salamah. Angkatlah darjatnya setaraf dengan orang-orang muqarrabin. Gantikanlah dia bagi keluarga yang ditinggalkannya. Ampunilah kami dan dia, wahai Tuhan semesta alam. Lapangkan dan beri dia cahaya dalam kuburnya.”

Ummu Salamah teringat hadis yang diceritakan oleh suaminya daripada Rasulullah, lalu beliau pun membaca: “Wahai Allah! Saya berserah diri kepada Engkau berhubung dengan musibah yang menimpa diriku ini...”.


Tetapi Ummu Salamah tidak melanjutkan doanya kerana Ummu Salamah tertanya-tanya dalam dirinya: “Siapakah lagi yang lebih baik daripada Abu Salamah?” Sebab itu Ummu Salamah tidak meneruskan doanya.

Namun, janji Allah dan Rasul-Nya adalah janji yang pasti! Kaum muslimin seluruhnya menyedari hak Ummu Salamah terhadap mereka. Oleh sebab itu, apabila ‘iddah Ummu Salamah habis, Abu Bakar datang melamar Ummu Salamah, tetapi Ummu Salamah menolak. Kemudian, ‘Umar pula pergi melamar, juga ditolak. Sesudah itu, datanglah junjungan mulia, Rasulullah pergi melamar Ummu Salamah.

Ummu Salamah berkata: “Ya Rasulullah! Saya ada tiga masalah yang perlu diambil kira. Pertama, saya wanita yang kuat cemburu, kerana itu saya takut kalau-kalau Rasulullah menemui pada diri saya sesuatu yang tidak menyenangkan, sehingga saya berdosa dan disiksa Allah kerananya. Kedua, saya sudah tua, tidak mungkin untuk kahwin lagi. Ketiga, saya sudah mempunyai anak. Nah, bagaimana mungkin saya bersuami kembali?”


Jawab Rasulullah s.a.w.: “Soal cemburu yang engkau katakan pertama, insya’Allah saya doakan semoga Allah menghilangkannya daripadamu. Adapun soal usia, bukankah saya pernah mengahwini wanita yang lebih tua daripada usia saya? Soal ketiga, anak. Anakmu anak saya juga.”

Tidak lama selepas itu, Ummu Salamah pun berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. Allah S.W.T. telah mengabulkan doa Rasulullah untuk menggantikan Abu Salamah dengan seorang yang lebih baik.

Semenjak hari itu, Ummu Salamah bukanlah ibu bagi Salamah seorang, tetapi juga ibu bagi seluruh orang yang beriman. Tergolonglah beliau sebagai salah seorang Ummul Mukminin6.

_______________________

Nota ringkas:


1 Bangsa Arab hidup dalam keadaan yang berpuak-puak mengikut suku kaum keturunan. Suku kaum keturunan ini berdasarkan kepada tempat asal nenek moyang mereka masing-masing. Kesukuan dan kepuakan bangsa Arab adalah sangat kuat dan mereka sangat menjaga nasab (keturunan). Boleh dikatakan setiap suku kaum adalah merupakan bangsa dan pemerintahan yang tersendiri. Suku Quraisy adalah merupakan suku bangsa Arab yang paling mulia, keturunan daripada Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. Bani Makhzum adalah merupakan salah satu keluarga dalam suku kaum Quraisy, sama seperti Bani Hasyim yang daripadanya lahir Rasulullah s.a.w.

2 Assabiquunal Awwalun ini adalah kelompok sahabat-sahabat yang mula-mula memeluk agama Islam, yakni pada ketika dakwah Rasulullah berada di peringkat rahsia. Mereka ini sering berkumpul di rumah Al-Arqam Bin Abi Al-Arqam untuk belajar tentang Islam daripada Rasulullah s.a.w.

3 Dalam sejarah Islam, peristiwa hijrah berlaku dua kali. Hijrah yang pertama hanya disertai oleh kaum muslimin yang bilangannya kecil. Dalam Fiqh Sirah, Said Ramadhan Al-Buti menyatakan jumlahnya lebih kurang 80 orang. Hijrah yang ini adalah hijrah yang pertama ke Habsyah. Rasulullah menyuruh para sahabat berhijrah ke Habsyah kerana Habsyah pada ketika itu berada di bawah pemerintahan Raja Najasyi yang adil. Raja Najasyi adalah penganut agama Nasrani yang tulen, agama yang dibawa oleh Nabi Isa a.s. Apabila kaum muslimin ini telah berhijrah ke Habsyah, pihak kafir Quraisy telah menghantar dua orang utusan sebagai wakil pemerintah Mekah untuk meminta Raja Najasyi menyerahkan kembali pelarian muslim yang berada di Habsyah. Namun, atas keadilannya, setelah mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak, Raja Najasyi mengakui kemuliaan ajaran Islam dan enggan menyerahkan orang-orang muslim tersebut kepada pihak kafir Quraisy.

4 Kekalahan tentera Islam dalam perang Uhud adalah kekalahan yang pertama dan terakhir. Kekalahan tersebut adalah disebabkan ada beberapa orang tentera Islam yang melanggar arahan yang telah diberikan kepada mereka. Akibatnya tentera Islam tewas. Rasulullah s.a.w. sendiri patah giginya dan pengsan seketika dalam perang ini. Walau bagaimanapun, peristiwa perang Uhud ini sebenarnya adalah merupakan satu tarbiyyah dan pengajaran daripada Allah S.W.T. Strategi perang ini telah diputuskan oleh mesyuarat, dan bukan oleh keputusan Rasulullah s.a.w. seorang diri. Apabila tewas, ramai yang beranggapan tidak perlu bermesyuarat lagi, cukuplah Rasulullah s.a.w. seorang membuat keputusan kerana keputusan mesyuarat mereka ternyata membawa kesan buruk kepada tentera Islam. Kemudian, turunlah ayat Al-Quran yang menyatakan tentang keutamaan mesyuarat. Oleh sebab itu Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady dalam mengupas persoalan syura ini ada menulis bahawa apabila satu keputusan telah diputuskan oleh mesyuarat, sama ada natijah keputusan itu positif atau negatif, itulah keputusan yang terbaik. Selain daripada itu, keputusan yang telah dibuat harus dipatuhi dengan disiplin. Apabila tiada disiplin, maka umat akan tewas.

5 Kalimah istirja’ adalah: innalillahi wa inna ilaihi raaji’uun (sesungguhnya dari Allah kami datang, dan kepadaNya kami kembali.). Kalimah istirja’ ini disebut dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah ayat 156. Hadis Rasulullah itu adalah merupakan penerangan kepada ayat ini.

6 Ummul Mukminin bermaksud ibu bagi orang-orang yang beriman. Gelaran ini adalah gelaran yang diberikan kepada isteri-isteri Rasulullah s.a.w. yang menunjukkan ketinggian darjat mereka.

Bacaan Popular