Berikut merupakan Resolusi yang dicapai dalam Konvensyen Pelajar Islam Kali ke-10 bertempat di Hotel MGU Kota Bharu.
Menyedari kepentingan pelajar islam meneladani qudwah terpilih dan personaliti unggul dalam dunia yang serba moden.
Menginsafi betapa dunia globalisasi yang kini semakin dominan sedang menjalar bersama timbunan masalah social dan budaya asing yang mencabut akarumbi dan jatidiri pelajar-pelajar Islam.
Menginsafi bahawa kepimpinan dan ketrampilan pelajar-pelajar Islam disemua peringkat perlu diberi ruang dan perhatian yang wajar.
Menyelami hakikat bahawa potensi dan kualiti pelajar-pelajar Islam harus dipupuk dan digilap selaras dengan keperluan semasa :
MAKA DENGAN INI KONVENSYEN PELAJAR ISLAM KELANTAN KALI KE 10 YANG TELAH BERLANGSUNG PADA 20.6.09, BERTEMPAT DI HOTEL MGU KOTA BHARU YANG DIHADIRI SERAMAI 300 ORANG PESERTA DENGAN INI BERSETUJU BAHAWA :
1.Merealisasikan penubuhan alumni konvensyen pelajar islam Kelantan.
2.Memperbanyakkan kerjasama, usahasama dan hubungan strategi dengan sekolah-sekolah di Kelantan bagi memantapkan aktivtiti-aktiviti bercorak peningkatan minda, pembentukan jatidiri dan syakhsiah dan kepimpinan pelajar Islam.
3.Memperhebatkan program –program penonjolan personaliti unggul dari kalangan tokoh-tokoh Islam untuk pembinaan qudwah di kalangan pelajar muslim.
Alumni Konvensyen Pelajar Islam Kelantan Persatuan pembimbing Pelajar Islam Kelantan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia
20 Jun 2009 - Alhamdulillah, Konvensyen Pelajar islam Kelantan kali ke -10 berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Motivasi para mentor dan murabbi, Komitmen teman-teman, kemantapan ahli panel dan semangat para peserta memberikan satu kombinasi memaknai kejayaan penganjuran konvensyen yang bermula seawal jam 8.00 pagi dan berakhir kira-kira jam 5.00 petang. Alhamdulillah, syukur kepada Allah, dan terima kasih kepada semua yang menjayakan konvensyen kali ini. moga-moga tema Meneladani Qudwah Membina Keunggulan Pelajar Muslim kali ini mampu digarapkan oleh semua peserta yang terdiri daripada pimpinan pelajar untuk merealisasikan keunggulan di alma meter masing-masing.
Terima kasih kepada pimpinan delegasi Yapeim , yang diketuai oleh YBhg. Tuan Hj. Mokhtar Bin Abdul Razak, Timbalan ketua pengarah YaPEIM atas kesudian merasmikan dan menyampaikan sumbangan untuk konvensyen kali ini. Juga tidak lupa kepada pimpinan PKPIM yang mewakili Presiden PKPIM, saudari Akmariah (Ketua Hewi PKPIM) atas kesudian untuk hadir meraikan dan merasmikan penutupan konvensyen. Terima kasih juga kepada semua urusetia yang bertungkus lumus mempersiapkan konvensyen yang dianggap berprestij untuk pelajar Islam di abad ini. Insya Allah, kelebihan yang ada akan dimantapkan lagi dan kelemahan semasa penganjuran akan diperbaiki supaya menjadi lebih baik di masa akan datang. Alhamdulillah, resolusi Konvensyen dapat di rungkaikan sebagai amanah yang akan dilaksanakan kelak oleh peserta dan juga pimpinan PPIK untuk merealisasikan Keunggulan Pelajar Muslim di persada.
19 Jun 2009 (Jumaat), masih tinggal sehari lagi untuk saya dan teman-teman urusetia PPIK membuat persiapan untuk konvensyen esok hari.Bermakna masih berbaki sehari lagi untuk kami berkampung di sekretariat PPIK untuk memastikan persiapan konvensyen esok hari berjalan dengan lancar.
Hari ini beberapa tugasan telah di agihkan kepada urusetia bagi memastikan setiap bahagian tugasan sebelum konvensyen dapat di sempurnakan sebaik mungkin. Tetapi walaupun hari ini cuti hujung minggu , saya masih berkeadaan seperti hari bekerja. Usai solat Jumaat, saya perlu ke SMK Kubang Kerian 1 untuk menghadiri pertemuan Komuniti Juruteknik Komputer seluruh Kelantan.
Maka, saya terpaksa sekali lagi meninggalkan pengkalan seketariat konvensyen untuk memenuhi undangan ke sana. Pertemuan Kumpulan Juruteknik buat kali pertama ini amat penting untuk saya hadiri bagi membantu sahabat-sahabat juruteknik yang lain yang mempunyai semangat untuk memperkasakan komuniti ini dengan mewujudkan persatuan Juruteknik Komputer bagi menjaga kebajikan dan menjalinkan hubungan silatulrahmi di kalangan para juruteknik Komputer di agensi kerajaan.
Menerima panggilan Mentor untuk mengisi Program.
Dalam perjalanan ke sana (SMK Kubang Kerian 1) , tiba-tiba saya menerima panggilan daripada mentor saya Ustaz Makhtear yang mengingatkan saya supaya menggantikan abah Zahidin untuk mengisi slot ceramah motivasi kepada masyarakat dan keluarga angkat di Kampung Pulau Panjang , Pengkalan Chepa. Apa yang mengejutkan, pengisian ceramah tersebut adalah pada Malam ini , dan bukannya malam esok (sebagaimana yang telah ditandakan di diari eksekutif saya)... Memang saya telah tersilap menandakan tarikh ceramah tersebut. Kelam kabut sedikit juga jadinya.
Maklumlah rancangan saya pada hari ini , apabila selesainya pertemuan dengan komuniti Juruteknik, saya ingin terus bergegas ke sekretariat dan ke Hotel MGU untuk melihat perkembangan persiapan.
Mujurlah modul-modul presentasi telah saya kemaskini untuk ceramah tersebut. Cuma mengharapkan pihak di sana mempersiapkan alatan teknikal yang baik memandangkan pengisian saya menggunakan alatan ICT untuk dipresentasi kepada audien. Ujian pertama saya untuk bersedia bertindak walau dalam keadaan sedikit tidak bersedia (kerana kesilapan tarikh)
Menjadi Jurubicara kepada Para Juruteknik Komputer
Sampai sahaja di SMK Kubang Kerian 1, tiba-tiba saya disambut oleh big bos saya (idlan) yang mengetuai rancangan penubuhan komuniti Juruteknik Komputer Kelantan. Beliau memberi tugas kepada saya menjadi jurubicara untuk menyampaikan hasrat dan matlamat pertemuan Juruteknik pada hari ini bagi membentuk kumpulan Komuniti. Sekali lagi ujian untuk bersedia di dalam suasana tidak bersedia. Pada mulanya , saya hanya ingin hadir sebagai sebahagian daripada ahli peserta di pertemuan itu. Tapi di beri tugas yang agak besar juga oleh big bos. Ada benarnya juga, harapan bigbos Idlan meminta saya menyampaikan taklimat perjumpaan ini supaya Juruteknik dari seluruh pelusuk negeri memahami matlamat pertemuan.
Mungkin ini sumbangan kecil yang boleh saya berikan untuk membantu dan menyokong usaha sahabat-sahabat penaja Komuniti juruteknik Komputer Kelantan. Maklumlah, saya rasa, sahabat-sahabat sekerjaya yang bermula dari bigbos Idlan hingga kepada rakan-rakan yang lain (miey, Duan_mawi, Faisal dan lain-lain), mereka lebih banyak memberikan komitmen dan bertungkus lumus sebaik mungkin bagi memastikan pertemuan ini berjaya. Syabas buat mereka semua...!!
Makcik-makcik Juruteknik Komputer
Alhamdulilah, tugas ini selesai dengan jayanya. Usai sahaja majlis tamat, saya terpaksa memohon mengundur diri terlebih awal (tak sempat makan bersama di restoren) memandangkan saya perlu bergegas untuk persiapan ceramah pengisian pada malam ini.
selepas Solat Isyak , saya bertemankan sahabat saya Radhi menuju ke Kampung Pulau Panjang. Saya hanya bertawakal semoga pihak urusetia dapat mempersiapkan kelengkapan teknikal dengan sebaiknya (@ seadanya). Sebelum ini jika menerima jemputan, saya akan menggunakan kelengkapan audio sendiri. Tapi kali ini,disebabkan kesilapan teknikal, peralatan audio sistem di sediakan oleh pihak penganjur. Pada masa yang sama, rakan-rakan urusetia konvensyen telah pun berada di Hotel MGU untuk membuat persiapan terakhir.
Alhamdulillah, tiba sahaja di padang tempat saya akan mengisi ceramah, kelihatan cahaya terang benderang dan beberapa pasang khemah di dirikan untuk tujuan ceramah saya pada malam ini dan majlis perasmian penutup program keluarga Angkat anjuran Rakan Muda Desa Wawasan di kampung ini pada keesokannya. Apa yang lebih membuatkan saya teruja, peralatan audio sistem yang tercanggih dan disewa khas disediakan untuk slot pengisian saya pada malam ini. Maknanya, Saya tidak mempunyai masalah dengan kelengkapan audio sistem. Akhirnya dengan senang hati, saya dan Radhi mempersiapkan pemasangan LCD dan Laptop dan beberapa alatan lain.
Rupa-rupanya, Hikmah Allah yang mentakdirkan saya datang ke sini mempertemukan saya dengan adik-adik peserta yang terdiri daripada pelajar SMK Faris Petra dan Mahasiswa Politeknik Kota Bharu. Allah telah memudahkan saya untuk merapatkan semula hubungan antara saya dengan kampus pengajian saya dahulu (Politeknik Kota Bharu) melalui mahasiswa -mahasiswa ini. Tambahan pula, adik-adik Faris Petra pula terdiri daripada merka yang aktif dalam Badan Kaunseling dan Badan Pelajar Islam memberi ruang kepada saya untuk membina jaringan dengan Sekolah Berasrama Penuh (SMK Faris Petra) ini.
Alhamdulillah, pengisian saya berjalan dengan lancar ditambah dengan audien pada malam ini cukup ramai menghimpunkan para peserta keluarga angkat dan masyarakat di Kampung ini termasuk anak-anak muda. Tak ubah seperti ceramah politik. Cuma bezanya, mungkin daya tarikan pengisian malam ini dengan adanya tayangan presentasi melalui LCD.
Seronok mengisi ceramah dengan masyarakatnya yang ceria dan sporting. Lagu "Bila Terasa Rindu" versi nasyid dinyanyikan sama-sama oleh kami. Ditambah pula cerianya majlis pada malam ini, dengan adanya penghulu kampung yang cukup sporting.
Jadi ketika berceramah, selalu aja saya bergurau dengan ketua penghulu disamping usikan peserta yang lain. Seperti biasa, ceramah saya akan diakhiri dengan sesi muhasabah. Syukur, bila semua audien turut serta bermuhasabah. Tak kurang ada yang mengalirkan air mata tatkala saya mengakhirinya dengan berdoa.
Usai tamat sahaja ceramah saya, saya dikelilingi oleh peserta-peserta kluarga angkat yang ingin berkenalan dengan saya dengan bertukar-tukar alamat dan yang lebih penting ,berkongsi alamat blog dengan mereka. Alhamdulillah cukup seronok dapat mengisi dan memberi sesuatu yang terbaik untuk mereka dengan seadanya. Esok padang ceramah ini akan menjadi medan pertemuan masyarakat dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang akan merasmikan perasmian penutup program kampung angkat Rakan Muda Desa Wawasan ini.
Segalanya-galanya adalah yang terbaik dari Allah, yang memudahkan saya melaksanakan amanah ketika keadaan yang terpaksa bersedia untuk melaksanakan tugas dalam suasana Tidak Bersedia. Alhamdulillah, tugasan ini dapat dilaksanakan seadanya yang termampu. Meminjam ungkapan Shahiran (SUA PPIK) : Pimpinan haruslah "Bersedia Untuk Tidak Bersedia"