Monday, February 3, 2014

MESEJ AMMAR KEPADA GENERASI MUDA

Oleh : Tn Haji Ahmad Azam ( Ayah Ahmad Ammar)


Semalam 2 Februari 2014, genaplah 3 bulan Ahmad Ammar menemui Sang Penciptanya. SubhanaLlah begitu cepat masa berlalu. Rasanya macam baru seminggu yang lalu aku menghadiri pengkebumiannya di Pemakaman Eyub Sultan (Abu Ayub al Ansari), Istanbul.

Sejak 3 bulan yang lalu, sebagaimana yang telah ku ungkapkan berkali-kali, aku merasa semakin kerdil bila melihatkan kebesaran ALLah ta'ala dengan segala perancanganNYA yang Maha Hebat lagi Maha Sempurna. Apa tidaknya, Ahmad Ammar, seorang pemuda berumur 20 tahun, seorang pendiam, tidak suka menonjol diri, apalagi nak lantang bersuara, tidak dikenali kecuali teman rapat dan gurunya, tetapi sebaik saja beliau kembali ke RahmatuLlah, diberi penghormatan yang tinggi oleh Kerajaan Turki dengan diberi keizinan untuk dikebumikan di Pemakaman Eyub Sultan, suatu kawasan perkuburan yang begitu dimuliakan oleh rakyat Turki.



Tidak cukup dengan itu, Pejabat Perdana Menteri Turki telah menghantar surat Takziah melalui Kedutaan Malaysia di Ankara sebagai merakamkan perasaan turut sedih Kerajaan Turki atas pemergian Ahmad Ammar. Lebih memeranjatkan lagi, Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu telah menalipon ku sendiri untuk merakamkan ucapan takziah. Aku selalu bertanya akan diriku sendiri, siapakah Ammar ini? Mengapakah beliau diberikan penghormatan sebegitu tinggi oleh Kerajaan Turki?

Begitu juga tika Majlis Pengkebumiannya, Hoca Said Nuri, Ketua Jamaah Hayrat, sebuah Jamaah yang memperjuangkan ajaran Imam Badiuzzaman Said Nursi melalui kitabnya Risalah An Nur, hadir menyembahyangkan jenazah Ammar, sedangkan dia amat jarang sekali melakukannya hatta terhadap anak muridnya sendiri. Mesti ada sesuatu bagi diri Ammar sehingga seorang tokoh spiritual yang besar di Turki sanggup bersusah payah datang dari Isparta semata-mata untuk menghormati Ammar. 

Jujur aku katakan, aku semacam tidak mengenali anak ku sendiri. Seolah-olah segala kehebatan dan keistimewaannya dihijab oleh ALlah di dunia ini, dan dibuka sebaik saja beliau kembali ke pangkuanNYA, ALlah Rabbul Jalil. 

Satu soalan yang selalu berlegar di kepala ku, Apakah mesej ALlah ta'ala dari kematian anakanda Ahmad Ammar ini?.

Persoalan itu terjawab sebahagiannya apabila pihak JAKIM dan JAIS mencalunkan Ahmad Ammar untuk menerima anugerah Tokoh Maulidur Rasul peringkat Kebangsaan dan Negeri Selangor 1435 Hijrah. Aku kebingungan untuk mengisi borang pencalunan tersebut yang meminta aku menyatakan sumbangan dan jasa Ahmad Ammar kepada masyarakat. Apa yang perlu aku nyatakan? Ammar belum lagi membuat sebarang jasa yang signifikan untuk melayakkannya menerima anugerah ini, kata benak ku!. 

Namun demikian, apabila pihak JAKIM dan JAIS menyatakan bahawa Ammar adalah Pencetus Ummah yang telah mencetus kesedaran di kalangan generasi muda untuk kembali menjadi umat Islam terbaik melalui akhlak dan semangat perjuangannya, maka aku mulai faham akan mesej ALlah di atas segala kehendakNYA itu. Ya! Ammar telah ditakdirkan untuk menghidupkan jiwa-jiwa yang terlena selama ini. Ammar ditakdirkan untuk membangkit semangat jiwa anak muda, Ammar ditakdirkan untuk menyedarkan kita semua agar jadikan akhirat sebagai paksi dalam kehidupan ini. Ammar ditakdirkan untuk menggerakkan umat untuk kembali merebut keKhalifahan yang telah lama hilang........

Justeru itulah aku dan isteri telah menjadi perantau. Merantau segenap pelusuk negara, untuk menceritakan mesej ALlah ini, untuk menghidupkan jiwa-jiwa yang terlena supaya kembali kepada fitrah, menjadi Hamba ALlah, Khayra Ummah dan Khalifah Allah di muka bumi ini. Sampai bila kami harus merantau, biarlah ALlah saja yang menentukan. Kami pasrah! 

-AA-

Bacaan Popular