Wednesday, May 22, 2013

Merangka Belanjawan dari Perspektif Islam

oleh: Shabnam Mokhtar 

 Ketiga: Merangka Belanjawan dari Perspektif Islam 

 Bagi melaksanakan poin-poin yang telah diterangkan dalam bahagian kedua di atas, adalah penting untuk kita merangka belanjawan (budget).

Belanjawan ini bukan sahaja dapat memaksa kita merancang sebelum berbelanja malahan dapat digunakan sebagai mekanisma kawalan perbelanjaan kita. Maknanya setiap bulan kita dapat membandingkan berapa perbelanjaan yang dirancang dengan perbelanjaan yang sebenar.


 Jika ada perbezaan yang besar, sebab berlaku perbezaan ini perlu dikenalpasti dan langkah-langkah yang sepatutnya perlu diambil. Inilah yang dipanggil analisis varians (variance = actual – budget).

Berikut merupakan langkah-langkah untuk merangka belanjawan [41]:
1.  Kenalpasti semua sumber pendapatan bulanan kita.

2.  Kenalpasti semua perbelanjaan bulanan kita. Buat anggaran untuk perbelanjaan bulanan berdasarkan pengalaman lepas atau dengan merujuk bil-bil lepas.

3. Bagi setiap perbelanjaan ini kenalpasti samada:
a.  Ia merupakan perbelanjaan yang wajib dibayar setiap bulan (mandatory) atau “optional”
b.  Kenalpasti tingkat keutamaan perbelanjaan tersebut: daruriyat, hajiyat, tahsiniyat

4.  Pastikan pendapatan kita dikenakan zakat atau tidak.

5.  Dapatkan baki pendapatan kita yang masih ada selepas ditolak semua perbelanjaan.

6. Daripada baki ini peruntukkan sebahagian untuk simpanan dan sebahagian lagi untuk sedekah. Jika kita baru hendak mula untuk melakukan sedekah, mulakan dengan amaun yang kita rasakan boleh beristiqamah menderma setiap bulan.

Contoh Belanjawan:
1. Gaji bulanan = RM 2,400.

2. Senarai perbelanjaan:
* Bagi keluarga penulis, kami menetapkan dana bulanan yang disumbangkan oleh setiap ahli keluarga bagi menyediakan peruntukan untuk persediaan raya. Dana seperti ini boleh digunakan oleh pembaca bagi merancang perbelanjaan jangka panjang.
 * Penulis juga memperuntukkan dana untuk kecemasan dan “leisure”- termasuk sebarang aktiviti/pembelian untuk kegunaan peribadi.

 3. Adakah perbelanjaan:
* Wajib bayar setiap bulan (obligation): M= Mandatory, O = Optional Bagi kolum “Obligation” penulis hanya menentukan samada perbelanjaan ini sesuatu yang penulis mesti peruntukan setiap bulan atau penulis mempunyai pilihan untuk tidak memperuntukkannya.

Sebagai contoh walaupun penulis ada peruntukkan bagi leisure, buku dan kelas jahitan, ia merupakan perbelanjaan yang mana penulis boleh memilih untuk tidak membelanjakannya.

 * Tingkat keutamaan: D = Daruriyat, H = Hajiyat, T= Tahsiniyat
Dalam kolum “Category” penulis menentukan tingkat keutamaan setiap perbelanjaan. Dana Hari Raya umpamanya merupakan kategori tahsiniyat kerana ia lebih bertujuan memberi keselesaan apabila kami melakukan perbelanjaan untuk Hari Raya setiap tahun.

Manakala peruntukkan bagi kecemasan, telefon bimbit dan kelas jahitan penulis kategorikan sebagai hajiyat kerana ini lebih bertujuan untuk mengurangkan kesukaran. Begitu juga peruntukkan untuk membeli buku. Walaupun membaca merupakan sesuatu yang amat penting, tapi sumber bacaan tidak semestinya dibeli sahaja. Terdapat banyak sumber lain seperti perpustakaan dan bahan bacaan online. Namun jika terdapat buku sendiri ia dapat memudahkan pembacaan, maka penulis kategorikannya sebagai hajiyat.

 Kereta bagi penulis merupakan hajiyat kerana ia memudahkan perjalanan. Namun oleh kerana bayaran bulanan kereta (hutang), servis dan perbelanjaan lain merupakan perbelanjaan yang perlu penulis keluarkan setiap bulan, maka penulis memasukkannya dalam kategori daruriyat.

Penulis juga memperuntukkan elaun bulanan untuk membuat bayaran cukai jalan dan insuran apabila tamat tempohnya. Dengan cara ini, beban pembayaran tidak begitu terasa apabila tiba masanya. Oleh itu, perbelanjaan-perbelanjaan ini termasuk dalam kategori daruriyat/hajiyat. Pembaca bebas memasukkan apa sahaja perbelanjaan yang dirasakan perlu. Apa yang perlu dibuat untuk setiap perbelanjaan adalah menentukan “obligation” dan juga kategorinya.

 Perbelanjaan
Budget
Obligation
Category
Dana Raya
35
M
T
Emergency
100
M
H
Household
100
M
D
Servis Kereta
100
M
D/H
Tol
100
M
D/H
Minyak
450
M
D/H
Road Tax & ins
100
M
D/H
Handphone
80
M
H
Leisure
100
O
T
Makan
100
M
D
Jahitan
80
O
H
Buku
100
O
H
Kereta
485
M
D/H
Bills:



Telekom
150
M
D
TM Net
20
M
D
TNB
100
M
D
Indah Water & Cukai Pintu
13
M
D



 4. Setelah mengira dengan calculator zakat di www.e-zakat.com.my, penulis mengganggarkan bayaran zakat setahun adalah lebih kurang RM 700. Setelah dibahagi dengan 12 bulan, penulis memperuntukkan RM60 setiap bulan untuk bayaran zakat.

 5. Setelah mendapatkan amaun zakat, penulis menyusun perbelanjaan tersebut mengikut obligation dan kategorinya. Setelah mendapatkan baki pendapatan, penulis memperuntukkan sebahagian untuk simpanan dan sebahagian lagi untuk sedekah. Contoh belanjawan lengkap ditunjukkan dalam Jadual 1. 6.

 Jika tiada baki lebihan pendapatan, maka pembaca boleh mengurangkan sedikit peruntukkan bermula dengan Optional – Tahsiniyat & Hajiyat. Kemudian kepada Mandatory – Tahsiniyat.

Inilah gunanya membuat belanjawan yang mengambil kira tingkat keutamaan, supaya mudah untuk kita mengenalpasti perbelanjaan mana yang boleh dikurangkan atau perlu ditambah. Jika masih tiada baki, cuba peruntukkan amaun yang sangat kecil RM 5 misalnya untuk sedekah setiap bulan.

Insha’Allah amaun ini sudah mencukupi sebagai permulaan. Yang penting, kita beristiqamah dan cuba sedikit demi sedikit meningkatkan amaun yang diperuntukkan untuk sedekah. Penulis biasa membuat belanjawan untuk kegunaan peribadi sebelum ini, tetapi tidak pernah menjadikan sedekah itu satu kategori yang formal dalam belanjawan penulis.

Setelah merangka belanjawan dengan kategori formal untuk sedekah, penulis merasakan lebih mudah untuk menghulurkan sedekah. Tidaklah menghulurkan sedekah dengan hati yang antara hendak atau tidak. Inilah perbezaan yang paling ketara dapat penulis rasakan. Sebagai seorang muslim, kita semua sepatutnya mewujudkan satu kategori formal untuk sedekah.

Bagaimana hendak kita salurkan dan kepada siapa, terpulang pada kita menentukannnya. Beberapa keutamaan dalam perbelanjaan yang telah penulis terangkan pada bahagian dua boleh juga menjadi saluran untuk kita memberikan derma. Ingin penulis berkongsi sedikit pengalaman dalam melaksanakan belanjawan yang telah dirancang.

Belanjawan ini sekadar panduan untuk berbelanja. Jangan terlalu ketat apabila melaksanakannya lebih-lebih lagi jika kita baru pertama kali membuat belanjawan. Buat 2 atau 3 bulan pertama pasti berlaku perbezaan dari apa yang kita rancang. Biasanya akan terlebih belanja.

Beri diri dan keluarga anda sedikit masa untuk menyesuaikan diri. Jadikan agenda belanjawan ini agenda keluarga. Jika anda dapat berbincang dengan ahli keluarga dalam merangka belanjawan tersebut adalah lebih baik kerana ini dapat mewujudkan rasa “milik bersama”.

 Setiap ahli keluarga boleh saling ingat mengingatkan apabila berbelanja. Dengan cara ini anda akan lebih bermotivasi untuk mengikut apa yang dirancang. Jika berlaku perbelanjaan yang diluar jangkaan, cuba buat perubahan yang perlu pada belanjawan anda. Jadikan belanjawan ini sesuatu yang fleksible dan seronok bukannya sesuatu yang sangat “rigid” dan membosankan.

Jangan pula dalam rangka kita bersemangat hendak bersedekah, kita “ketatkan” perbelanjaan keluarga sehingga ahli keluarga rasa tertekan. Ingat nafkah pada keluarga juga boleh menjadikan sarana untuk kita mendapat balasan pahala dari Allah. Jadikan budaya bersedekah ini budaya keluarga.

Anda boleh mewujudkan “Secret Sadaqah Box (SSB)” di mana setiap ahli keluarga menderma apabila tiada orang melihat. Setiap bulan amaun dari SSB boleh diserahkan kepada masjid, rumah anak yatim, Tabung BersamaMu TV3 atau sesiapa yang memerlukan. Latih anak-anak untuk biasa bersedekah.

Sebagai contoh, jika anda biasa ke masjid atau surau bersama anak, berikan mereka sedikit duit untuk dimasukkan dalam tabung masjid. Kebiasaan ini insha’Allah akan menjadi sebati dengan jiwa mereka apabila membesar.[42]

 Bermula dengan aktiviti demikian di rumah, kita boleh seterusnya menyarankan idea-idea tersebut di surau tempat tinggal kita atau juga di pejabat. Bagi jemaah di surau atau masjid tertentu, selain meningkatkan kemudahan, derma yang dikumpul boleh digunakan untuk memberi biasiswa kepada anak-anak jemaah yang kurang berkemampuan misalnya.

 Islamic Center di Urbana-Champaign, Illinois tempat penulis melanjutkan pelajaran dahulu, menyediakan saluran bagi individu yang berkemampuan untuk memberi biasiswa kepada pelajar di UIUC ataupun kolej komuniti berdekatan. Individu tersebut pula boleh menetapkan pelajar program apa yang ingin dibiayainya (undang-undang, kejuruteraan, perniagaan dll).

AJK Islamic Center tersebut menjadi pemegang amanah tabung tersebut dan memilih pelajar yang layak menerima biasiswa. Jika ini dapat diterapkan di institusi keagamaan di sini, insha’Allah akan membawa kesan yang amat positif untuk pembangunan jemaah setempat. Suka penulis mengingatkan, dalam menjalankan aktiviti begini kita sepatutnya lebih pro-aktif bukannya reaktif.

Dengan kata lain, pemegang amanah tersebut perlulah pergi mencari siapa yang berkelayakan menerima biasiswa tersebut, tidak hanya menanti di pejabat menunggu calon datang mengisi borang permohanan. Selain menganjurkan majlis ilmu (islah), jemaah juga boleh menganjurkan lawatan ke hospital, rumah orang tua, orang-orang kurang upaya dan rumah anak-anak yatim.

Aspek kebajikan orang lain inilah yang kurang diberi perhatian oleh umat Islam hari ini. Apabila kita membuat lawatan ketempat-tempat begini jangan hanya ditumpukan kepada orang Islam sahaja sebaliknya tumpukan kepada semua bangsa yang ada di hospital. Ini dapat menjadi salah satu dari usaha dakwah kepada orang bukan Islam.

 Bagi pelajar univeristi yang tidak mampu membuat sumbangan kewangan pula, mungkin boleh menganjurkan kelas Matematik, Bahasa Inggeris atau Sains secara percuma atau dengan bayaran minimum bagi membantu pelajar-pelajar sekolah (rendah mahupun menengah) di kawasan surau berdekatan. Dengan menganjurkan aktiviti-aktiviti sebegini barulah masjid dan surau memainkan peranan yang aktif dalam pembangunan ummah secara syumul insha’Allah.

 Setelah siap belanjawan, langkah seterusnya adalah untuk menyimpan rekod bagi perbelanjaan sebenar yang kita lakukan. Cuba simpan rekod setiap perbelanjaan yang anda lakukan. Cadangan penulis, simpan resit perbelanjaan dan jumlahkan pada setiap hujung minggu.

Sediakan juga satu buku nota kecil untuk mencatat perbelanjaan kecil-kecilan yang tiada resit. Catatan belanjawan ini boleh dibuat samada pada satu buku atau menggunakan excel file. Pada hujung bulan bandingkan belanjawan anda dengan jumlah perbelanjaan sebenar.

Adakah berlaku sebarang perbezaan (Varians = Budget – Actual)?

 Adakah anda terlebih belanja (mendapat nombor negatif pada kiraan varians anda) atau terkurang belanja (mendapat nombor positif pada varians anda)?

Jika perbezaan yang berlaku hanya kecil, maka tidak perlu risau. Namun jika perbezaan yang berlaku melebihi RM 50 atau RM 100 misalnya anda perlu mengenalpasti sebab berlaku perbezaan ini.

Adakah perbezaan tersebut kerana perbelanjaan di luar jangka atau kerana anda terlebih belanja misalnya. Setelah sebab dikenalpasti, langkah pembaikan boleh diambil samada anda membuat perubahan pada belanjawan jika perlu atau membuat perubahan dalam cara anda berbelanja.


Jadual 1: Contoh Belanjawan



Essential: Must pay                                                                                                         
Daruriyat:                                                                                                                           
Zakat                                                                            60                                                   
Makan                                                                        100                                                   
Household                                                                100                                                   
Bills:                                                                                                                                     
                               Telekom                                     150                                                   
                               TM Net                                          20                                                   
                               TNB                                             100                                                   
                               Indah Water & Cukai Pintu       13                                                   
Kereta                                                                        485                                                   
Servis Kereta                                                            100                                                   
Tol                                                                              100                                                   
Minyak                                                                       450                                                   
Road Tax & ins                                                         100                                                   
                                                                                                                 1778                   
Hajiyat                                                                                                                                 
Handphone                                                                80                                                   
Emergency                                                               100                                                   
                                                                                                                   180                   
Tahsiniyat                                                                                                                           
Dana Raya                                                                35                                                     
                                                                                                                     35
                                                                                                                                               1993


Non-Essential: Optional expenditure                                                                         
Hajiyat                                                                                                                                 
Jahitan                                                                       80                                                    
Buku                                                                           100                                                   
                                                                                                                   180
Tahsiniyat                                                                                                                           
Leisure                                                                      100                                                   
                                                                                                                   100
                                                                                                                                                 280
Jumlah Belanjawan                                                                                                          2273
Gaji                                                                                                                                       2400
Baki                                                                                                                                         127
Simpanan                                                                                                                                75
Sedekah                                                                                                                                  52




______________________________
 [41] Bagi bacaan lanjut dan contoh lain, pembaca boleh merujuk http://www.soundvision.com/Info/life/pfplan.asp. Bagi contoh belanjawan keluarga, pembca boleh merujuk http://www.soundvision.com/Info/life/fbudget.asp

[42] Untuk beberapa panduan lain sila rujuk http://www.soundvision.com/Info/life/18.asp dan http://www.soundvision.com/Info/life/20kids.asp

Bacaan Popular