BODOH itu baik?
Kenyataan seperti itu pasti akan menaikkan kening mak ayah yang mendengarnya.
Saya tertarik dengan rahsia awet muda Chow Yun Fatt, pelakon Hong Kong yang
berjaya menembusi pasaran Hollywood. Menurutnya, kalau mahu sentiasa muda dan
berjaya dalam hidup -"act dumb" ( jadi bodoh ). Tetapi, maksud jadi bodoh itu
bukanlah menjadi bengap, bahlul atau lembam secara literal.
Apabila seseorang
itu 'bodoh' maka dia tidak akan membebankan otak dengan memikirkan hal-hal yang
tidak perlu. Oleh sebab kepala sudah 'ringan', maka diri pun akan tidak berasa
tertekan dan terbeban. Secara saintifik, tidak dinafikan, tekanan boleh
menjejaskan kecantikan wajah.
Kita pun sedia maklum orang yang 'berat otak' memikirkan 'apa orang akan kata'
dan 'apa orang fikir saya perlu kata' memberikan 'bagasi tambahan' (exercise
baggage) kepada otak.
Kadangkala, kita ada juga mendengar ekspresi 'bodoh sombong' untuk menandakan
perbuatan seseorang yang malu bertanya dan tidak peduli jika dia sesat jalan
kerana perbuatannya malu untuk bertanya. Bukan sesuatu yang asing dalam sistem
pendidikan yang berasaskan konsep kuno-'suap dek cikgu dan tadah dek murid' di
negara ini yakni kelas menjadi senyap dan sunyi apabila soalan seperti "Ada
apa-apa soalan ?" diajukan.
Seorang pensyarah dari Turki yang saya kenal pernah memberi komen bahawa
pelajar di sini rajin tetapi lesu! Rajin membaca, mengingat, dan menyalin-memang
hebat sampai berkajang-kajang yang disalinnya. Tetapi, malas berfikir, berdebat
dan bercakap. Takut kepada siapa? Takut dikatakan bodoh atau takut menerima
hakikat bahawa sebagai pelajar yang bodoh dan kita memang perlu bersuara ? Jika
ada sesuatu yang tidak baik berlaku, tidak ramai yang suka menyuarakan pendapat
berbeza, memberi idea-idea menjana perubahan, kerana sesuatu yang berbeza itu
kadangkala ditakuti entah kenapa.
Tetapi persoalannya mengapakah kita perlu biarkan diri diperbodohkan? Jika
sesuatu sistem itu bodoh tetapi kita tidak lakukan apa-apa bukanlah kita yang
menjadi lebih bodoh?
Era sekarang sudah jauh berubah. Apabila kita menerjah ke dunia yang diwarnai
teknologi maklumat pula, kebodohan juga perlu menjadi isu yang penting.
Bagaimana? Mudah saja.
Zaman sekarang maklumat atau informasi itu boleh kita
dapati dengan mudah jika kita menerokai dan melayari internet. Hatta autoriti
kes mahkamah juga boleh didapati dengan mudah tanpa perlu bersengkang mata
membaca terlalu banyak buku. Pokoknya, maklumat mudah didapati dan diterima.
Oleh itu, kaedah penting yang harus diingat sekarang ini ialah bagaimanakah
menguruskan apa-apa yang kita ketahui (information management).
Justeru itu, kebodohan itu perlu. Bukannya untuk menjadi seorang jahiliah atau
seorang yang 'selesa' dengan senario ledakan maklumat.
Tetapi untuk menjadi
seorang yang selektif. Yang penting adalah fokus. Hal ini bermakna, kita perlu
menjadi selektif dalam menyira dan menapis aliran maklumat yang ada. Ambil yang
perlu, yang membantu dan eksploit sebaik-baiknya. Tidak perlu 'tahu' jika
pengetahuan itu tidak begitu menguntungkan kerana dalam era ledakan, maklumat
yang ada melimpah ruah sehingga yang tidak begitu perlu tetapi 'menarik' seperti
pornografi juga timbul sekali. Oleh itu, baik kita 'buat bodoh' sahaja.
Kadangkala, jika kita teliti, seseorang yang sudah 'habis modal' apabila
bertelagah dalam sesuatu isu akan mula mencari ruang menembak pesonaliti pihak
lawannya.
Seorang kawan saya mengeluh kerana tidak dapat menyampaikan
pendapatnya apabila kawannya mula memberi komen seperti hujah awak tidak bernas
kerana awak tidak melihat diri awak itu siapa, awak itu tidak layak memberi
komen. Jawapan saya kepada kawan saya itu mudah, sebenarnya jika hal ini berlaku
kita hanya katakan kepada pihak lawan,
"Adakah hujah saya begitu jitu dan bernas
sehingga awak terpaksa mengacu dan menyerang personaliti saya dan bukan hujah
yang dibawa? Sudah habis modal untuk berhujah pendapat?"
Pasti pihak lawan akan
tergamam kerana itu bukan jawapan konvensional.
Kadangkala, kita perlu mematikan hujah yang bagi saya 'bodoh dan tidak perlu'
dengan 'berbuat bodoh' terhadap komen sebegitu. Kita juga perlu bertindak
defensif kerana jika perlu provokasi juga boleh mengunci hujah. Secara analogi,
kita perlu yakin dengan diri sendiri.
Oleh itu, walau apa pun yang dikatakan
kita tetap berdiri teguh dan maju. Kita boleh membodohkan diri tentang apa-apa
yang tidak perlu. Tetapi sudah tentu sesekali sahaja kerana kita tidak rugi
akhirnya.
Sumber: Dewan Siswa.