Wednesday, June 27, 2012

Syafakallah Abah Zahidin

27 jun 2010,
"Zan, esok abah dan ma nak ajak Zan datang rumah, abah nak jamu Zan makan nasi ayam Ma,
sempena hari lahir Zan, " jemput abah melalui telefon.
Itulah kasih seorang Murabbi yang sangat perihatin terhadap tarikh-tarikh penting anak-anak didiknya.

"Insya Allah abah, jangan lupa kerepek semasa kem yang lepas deh,"  kata saya sambil bergurau teringatkan kerepek yang abah Zahidin bawa semasa Kem PMG yang lepas.

 Pagi ini 27 Jun 2012 , terngiang pula di memori  panggilan abah Zahidin 2 tahun lepas . Seingatnya tahun 2011 abah hanya sempat mengucapkan di FB saya sahaja memandangkan saya berada di Kedah bercuti selepas Majlis kahwin saya.

Hari ini susuk tubuh yang selalu menggembirakan mad'u sekelilingnya ini memerlukan rehat yang secukupnya sejak dimasukkan ke CCU pada 3 Jun lepas kerana  mengalami masalah sesak nafas, kekurangan darah dan implikasi sakit jantung yang dihadapinya. Namun abah memang seorang yang bersemangat dan tabah dalam menghadapi ujian tarbiyyah langsung dari Allah. Masakan tidak, ujian tarbiyyah  abah ini turut dirasai oleh kami melalui sentuhan sajak abah sepanjang beliau ditahan di wad.

Sajak  "Tamrin Barzakh"  nukilan abah di siarkan di laman Muka buku (FB) nya melalui anaknya begitu menyentuh hati. Dinukilnya bab demi bab dan akan berakhir dengan sambungan bab seterusnya nanti.

Bersama Ustaz Faisal menikmati jamuan Nasi Ayam sempena
hari lahir saya.
Itulah abah Zahidin, setiap mutiara ilmu, kata-kata, respon terhadap isu sering menghidupkan suasana di laman Muka bukunya. Sejak beliau di tahan di wad, butiran kata di ruang status mukabukunya itu sunyi tanpa "statusnya"  melainkan status rakan-rakan FB yang mendoakan kesihatannya.


Seorang Murabbi


Jika Sultan Muhammad Al-Fatih mempunyai gurunya Syeikh Syamsudin Al-Wali, maka tidak kurangnya saya mengasihi abah Zahidin sebagai seorang Murabbi yang banyak membantu dan membina karakter diri saya. Seorang yang banyak memberi dorongan untuk saya kehadapan melakukan sesuatu yang bermanfaat dan banyak mengajar saya tentang kaedah sinergi dakwah dengan teknologi multimedia.

Kami sentiasa berbincang dan berkongsi sesuatu yang baru tentang teknologi ICT untuk manfaat dakwah. Kebanyakan teknologi ICT yang baru kami perolehi terus dimanfaatkan sebagai instrumen dakwah dalam sesi kami khususnya semasa mengendalikan ceramah.

Kami juga bersedia untuk berbeza pendapat dalam beberapa perkara. Namun pernah juga kami melalui satu titi tajam perselisihan faham kami  kerana mempunyai perbezaan pendirian terhadap satu-satu perkara. Tetapi perkara yang tidak dapat saya nafikan, abah sememangnya Murabbi dalam jalur dakwah yang saya lalui.

Sepanjang saya di pusat pengajian dahulu, pertemuan usrah dengan abah banyak berkisarkan buku-buku karangan aktivis Ikhwan Muslimin di Mesir. 

Seorang Komposer & Munsyeed 

Abah dan Brothers

Kumpulan Brothers yang dianggotai oleh Yasin dan 3 sahabatnya pernah menjadi anak didik abah sepanjang mereka belajar di Kelantan. Lirik lagu Teman Sejati nyanyian Brothers merupakan sentuhan terbaik abah sehingga lagu ini menjadi siulan masyarakat Malaysia dan Indonesia (bahkan seluruh pelusuk dunia). Kata abah , lirik ini dicipta bukan sekadar hanya lirik yang akan dinyanyikan. Bahkan lirik yang dicipta ini , adalah nukilan yang lahir dari hati dan ruh tarbiyyah yang abah lalui sepanjang di jalan dakwah. Baitnya mempunyai mesej ukhwah, spiritual , dan perjuangan.



Pada saya, tidak hairanlah kenapa lagu ini selalu sahaja dirakam semula mengikut citarasa munsyeed samaada di Malaysia mahupun Indonesia. Seingat saya, selain Brothers , lagu abah (Teman Sejati) ini pernah dirakamkan semula oleh Rabbani, dinyanyikan secara live oleh kumpulan Fatih (indonesia) bahkan kumpulan SNADA (juga Indonesia) melagukannya semula secara versi accapella.

Tidak disitu sahaja, abah banyak juga menukilkan karyanya dalam beberapa lagu yang lain. Sepanjang saya mengenali abah, lagu yang selalu menjadi ingatan saya bertajuk SAHABAT. Sangat mendayu dan menyentuh hati.Apatah lagi lagu yang dinyanyikan sendiri oleh abah ini akan menjadi lagu penutup kepada program yang dikendalikannya di bawah syarikat perunding Motivasinya , E-IPRO Resources.









 

   Abah Zahidin dan Laman Muka Buku

"Abah, apa kata saya cadangkan abah followup kami dan anak-anak abah melalui Facebook?" cadang saya kepada abah suatu hari.

"Ish! tak naklah abah, anak-anak abah kat luar pun tak sempat abah nak jaga, kat facebook nanti makin tak terjaga... mana sempat nak main benda orang muda tu," kata abah menolak.

"Alah, kalau abah pandai main facebook nanti, pasti abah akan terlebih muda dari kami yang muda ni, nanti boleh tengoklah siapa nanti yang perlukan masa tambahan untuk berfacebook nanti...," kata saya bergurau.

Di meja komputernya, saya mewujudkan akaun pertama abah di Muka buku. wajah pertamanya saya muat naik sebagai gambar profilnya. Selainnya ,  abah teroka sendiri.. :)

Ternyata, gurauan saya ada betulnya. Siapa yang terlebih muda ketika melayari Facebook? Siapakah yang perlu masa tambahan untuk bermain Facebook kerana teruja dengan keseronokan teknologinya. Abah Zahidinlah jawabnya.

Segala ilmu dikongsi. Segala isu semasa di beri respon oleh nya. Sesudah pandai langkah memuat naikkan gambar, laman facebooknya itu seakan menjadi akhbar yang menceritakan tentang isu-isu semasa dan pengisian tarbiyyah. facebook menjadi intrumen dakwah yang dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Kalau lagu teman sejati, orang jarang kenal siapa penulis liriknya, tapi setiap "status" abah samaada artikel, video nasyid, nukilan sajak, akan dikenali dan diikuti oleh rakan-rakam FBnya yang beliau tanda. isu hangat, isu pedas mahupun isu-isu sekelilingnya akan dibuat liputan dan disiarkan di laman FB beliau. Dalam ruang FBnya, beliau memperkenalkan Segmen University Of ABIM yang mana isi penting berkisarkan perkongsian pengalaman abah bersama Angkatan Belia Islam Malaysia.

Kadangkala, ada juga status abah yang menyebabkan saya kurang senang sehingga kami pernah berperang hujah di laman tersebut. Hujah serangan balas yang memeritkan antara kami berdua berakhir apabila yang Dipertua ABIM , Ustaz Faisal menjadi orang tengah yang mendamaikan kami.

Namun, sejak abah di dalam wad, saya mula merindui status -status abah di laman FBnya.Selalu sahaja bila saya melayari laman FB, saya membuka akaunnya dan melihat perkembangan semasa abah yang ditulis anaknya.

Melawat Abah di Wad
Sejak mendengar berita abah di tahan, ingin sahaja saya menziarahi abah, namun keadaan abah yang sangat memerlukan rehat secukupnya memberatkan saya untuk menziarahinya. Biarlah abah berehat secukupnya di wad itu.

Agak ramai sahabat yang menziarahi abah sepanjang abah dimasukkan ke wad. Rasa kasihan pula sebab pastinya, kalau ada sahabat atau anak-anak didiknya yang melawat, abah pasti akan melayani orang yang menziarahinya. Itu memang sifat abah zahidin yang memang terkenal dengan sifat peramah dan melayani orang sekelilingnya. Sedangkan abah perlu berehat dengan rehat yang berkualiti.

Pernah sekali Ma bercerita tentang abah di tanya oleh jururawat di situ sebab ringan mulut abah selalu bertegur sapa,

" Ni apasal pakcik ni selalu bercakap ni, pakcik ni kerja apa ya? selalu aja nak bercakap ni... kenapa tak nak rehat,? tanya jururawat tersebut. "kerja abah selama ni pun bercakaplah", balas abah... Memanglah kan?  abah seorang Motivator, kerjanya pasti bercakap. hehehe

Paling sayu, apabila saya tidak menziarahi abah kerana nak pastikan abah mempunyai rehat yang sempurna, sahabat saya Hamizah (pelajar USMKK) memaklumkan bahawa abah Zahidin ada menyebut nama saya. Bertanyakan saya berada di mana, Kedah atau di kelantan. Agak tersentuh di situ.

Maka tidak dapat tidak , saya wajib menziarahi abah. Maka datanglah saya bersama dua sahabat  Haikal dan Izzuddin.

Apabila masuk ke wad CCU yang menghadkan hanya 2 orang sahaja dalam satu masa lawatan, dapatlah kami menziarahi abah dalam satu bilik. Badannya penuh dengan wayar manakala di sisinya mesin peralatan berkaitan.

Saya tidak banyak bercakap kerana nak memastikan abah rehat. Seperti biasa, abah dengan kemahiran bercakapnya, ditanyanya saya macam-macam. Saya mengisyaratkan  abah supaya berehat dan jangan banyak bercakap sambil menggosok halus betis abah. Sesakali dia meminta saya mendoakan dan memohon agar solat hajat. Seketika, kami terkedu melihat dia menangis. Kami sebelum ini yang banyak melihat dia ramah dan ketawa di mana-mana pertemuan, tetapi buat pertemuan kali ini, abah memang bersedih dengan kesihatan.  Situasi sedih dan suram seperti ini kebiasaannya kami lihat pada wajah abah dalam situasi muhasabah ukhrawi sahaja.  Sebak saya dibuatnya, tapi saya menggagahkan diri supaya tidak menangis dan senyum memberi abah semangat. Tapi saya yakin, dalam raut kesedihan abah mengharungi ujian tarbiyyah ini, abah tetap mempunyai semangat yang kuat. Sekuat bait sajak Tamrin barzakh yang dinukilkan.

Yang pasti, kita sebagai anak-anak abah Zahidin, harus kuat dan selalu memberikan dorongan yang baik agar abah, ma dan keluarga kuat semangat dan bertawakkal serta penuh yakin kepada rahmat Allah disebalik ujian ini. 

 Semoga abah cepat sembuh, dan kembali mengukir senyuman untuk kami.


Fetyan Afzan
Teratak Kartini Jelawat
27 Jun 2012
 

TAMRIN BARZAH DI HUSMKK

(Oleh Abah Zahidin Mahmood)
"RA'IE SAHABAT KE WAD KECEMASAN"

BAB SATU
Syukur alhamdulillahi Rabbil 'Alamin
Aku dapat menyempurnakan hajat
yang terpendam sekian lama
Bertemu idola, tokoh tersohor dari IIUM,
Sebaik sahaja meraikan sahabat kesayangku,
Prof. Dr. Ismawi Haji Zain sekeluarga
di lot. 5150 kg Guntong Limbat
Dengan Nasi Ayam Special Ma.
Tiba selepas solat Isyak
Dadaku menjadi sesak nafas
Muka pucat putih lesu,
Dahi kaki tangan berpeluh sejuk pelik
Dalam dada rasa mencucuk macam terkena jarum
Kaki mulai sembab, paru-paru berair
dan lelah semakin terok.
Rasa diri sudah hampir mahu pergi
menemui Rab Kekasih Hatiku.

Memang sudah bertahun dada rasa sakit
tetapi dengan semangat jihad ianya hilang
apabila berada di medan menyampaikan dakwah
sebab aku tidak mahu anak-anak gerakanku tahu
Abahnya sedang sakit jantung.
Biarlah Ma sahaja yang tahu
Abah tidak dapat tidur malam di rumah.
Anak-anak sendiri pun tidak tahu
Abahnya sedang tanggong sakit tenat.
Sakit sikit-sikit cukup dengan Klinik Ziad di Melor sahaja.

BAB DUA

Namun kali ini, ia benar-benar serious
Tidak mampu lagi untuk main cikku chak..!
Tanda zahirnya dijelaskan oleh Allah S.W.T.
Bila nyawa cemas 90-10 %
Tidak sempat lagi dial 999
Kuda Perang Hitam DBP 4423 dipandu Rahmat laju
dan Abah hanya dengar Ma sebut sabar-sabar bang..
Ingat Allah banyak-banyak..
Menuju Pintu Wad Kecemasan
Hospital Universiti Sain Malaysia (HUSM)
Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.

Ahad 19 Jun 2012
Tepat jam 9.00 malam
Aku didaftarkan oleh Allah S.W.T.
Menjadi salah seorang peserta Tamrin Barzah
Tamrin Rabbaniy khusus buat hamba-hamba-Nya
yang ingin berislah mas tatho'tum.

23hb Jun 2012 10.00 malam

BAB TIGA
"Peserta Tamrin Dikenalpasti Di Bilik Kecemasan"

Muka pucat putih lesu
Berpeluh bahu kaki tangan
Azab siksa nafas dihembus
Lemah lesu Raja Tubuh manusia
Diri separuh mati diangkat ke bed kecemasan.

Sepasukan para HA, Nurse dan Doktor bergegas tiba
Seluruh badan ditampal dan dicucuk jarum
darah-darah diambil untuk ujian
Seluruh badan dipenuhi wayar-wayar dan bunyi elektonik
perjalanan Raja Manusia dipantau selalu.

Dos paling tinggi terpaksa disuntik terus ke jantung
Cairkan darah, kurangkan kolestrol, pulihkan jantung
menjadi tujuan awal dan utama
Mereka semua bertungkus-lumus berusaha
menyelamatkan seorang manusia kerdil dan hina
yang menyerah segalanya kepada HUSM
Enam jam berada di wad Kecemasan
namun keadaan masih getir
bila-bila saat dia boleh pergi
namum yang sempat ku dengar guna norton 3
bantuan oksigen dapat membantu
rawatan seterusnya terpaksa di Wad 1 Fairuz CCU
jam menunjukkan 2.30 pagi
Warga keluarga diingatkan bersedia
untuk menerima segala takdir
dan letak harapan dan terus berdoa
pada Allah S.W.T.
Insya-Allah...

(diterbitkan untuk FB Abah oleh : Nur Khairunnisa Zahidin : suara dari bumbung ISLAH...bersambung esok....)
24hb Jun 2012 10.00 malam




Bacaan Popular