Wednesday, May 1, 2013

Parenting 1453 : Kemana Tumpahnya Kuah Kalan Tidak Ke Nasi

Oleh : Ustaz Syaari Abd Rahman
 [ iskandarfateh.com ]

Dia Anak Raja, Patutlah Sejarah Memihak Kepadanya

Ada yang menyatakan : “Muhammad lahir sebagai anak Sultan. Maka tidak peliklah dia menjadi Sultan dan kemudiannya dengan kekuasaannya itu dia membuka Konstantinopel. Kita hari ini manusia biasa, rakyat biasa. Kita tiada hubungkait dengan kesultanan atau keluarga diraja.”

 Penulis ingin memberikan pencerahan :
1. Muhammad adalah anak ketiga dari ibu yang berbeza, iaitu Huma Hatun. Menjadi adat kebiasaan (common practice) bahawa kesultanan Othmaniyyah hanya memberikan perhatian kepada anak pertama dan kedua sahaja untuk difokuskan sebagai bakal pewaris takhta diraja.Anak pertama Sultan Murad II ialah Ahmed Celebi manakala anak keduanya pula adalah Alauddin Celebi.


Justeru, kenyataan yang menyatakan Muhammad menduduki takhta kesultanan secara ‘automatik’ adalah tidak tepat. Sultan Murad II mewariskan takhta kepada Muhammad apabila beliau tiada pilihan lain kecuali hanya kepada anak ketiganya itu selepas musibah kematian menimpa Ahmed dan Alauddin.

2. Jika benar sekalipun dakwaan yang mengatakan sejarah memihak kepada Muhammad kerana beliau anak raja yang hebat, namun persoalan yang perlu diajukan adalah bagaimana Sultan ini pada usia 21 tahun mampu membuat pukulan maut kepada hegemoni gergasi Byzantine di Konstantinopel ?

Upaya melakar sejarah menterbalikkan nasib ummah dari keaiban tahun 1258 di Baghdad kepada kegemilangan 1453 di Istanbul tidak ada hubungkait dengan soal keturunan atau latarbelakang politik keluarga Muhammad. Ini jelas dipengaruhi oleh kualiti kepemimpinan Muhammad dan orang-orang kanan beliau. Sekali lagi, soal kualiti bukan boleh diwarisi melainkan dengan proses pendidikan yang ketat dan peranan bersungguh yang dimainkan semua pihak di Edirne pada waktu itu khususnya golongan tentera Janissaries yang sangat berdisiplin.

 “Bukan pemuda mereka yang hanya berbangga dengan ayah mereka. Pemuda adalah mereka yang menyatakan inilah saya!” (Pepatah Arab)

 3. Hadis Rasulullah S.A.W memberikan isyarat jelas bahawa justifikasi pujian Nabi merujuk kepada soal kepemimpinan dengan menyebut “al-Amiir”. Nabi tidak menyebut sebaik-baik “Al-Sultan”. “Akan dibuka kota Konstantinopel itu. Maka sebaik-baik pemimpin, itulah pemimpinnya. Sebaik-baik tentera, itulah tenteranya.” (hadis direkodkan oleh Imam Ahmad dalam musnadnya dan disahihkan oleh Imam Al-Zahabiyy dan beberapa imam hadis yang lain)

 4. Ketika membaca sejarah, kita mesti mengelakkan dari ‘rabun mata’ atau melihat secara ‘ilusi optik’. Kisah pembukaan Konstantinopel pada 1453 adalah kisah kejayaan sebuah institusi pendidikan dan peranan para pendidik yang diletakkan di kedudukan yang tinggi dalam sesebuah negara.

Rasulullah Sallahu ‘alahi wassalam tidak secara ‘automatik’ menjadi Rasul akhir zaman tanpa proses pengadaban dan pendidikan secara langsung dari langit. “Aku telah dididik oleh Tuhanku sendiri. Maka itulah sebaik-baik pendidikan yang aku perolehi.”

Sekiranya kita menyatakan sejarah memang memihak kepada Muhammad kerana dia memang ditaqdirkan lahir dalam keluarga diraja atau keluarga para politikus genius, maka sama jugalah kita berisiko mengatakan kepada Rasulullah S.A.W dan para sahabat perkataan-perkataan yang menjauhkan kita sendiri dari meneladani mereka.

 “Dia Nabi. Para sahabatnya pula dididik oleh Nabi sendiri. Maka wajarlah Islam dahulu menjadi hebat. Kita hari ini menjadi sebaliknya kerana kita sudah jauh dari Nabi.”

 Ini yang dimaksudkan membaca sirah atau sejarah secara ‘rabun jauh’. Pelbagai alasan akan diberikan oleh mereka yang tidak serius untuk mengambil pelajaran dari sirah dan sejarah. Pelbagai alasan akan diberikan hanya kerana untuk menjustifikasikan sikap dirinya yang malas dan tidak mahu menyumbang apa-apa ke arah mengembalikan semula kekuatan ummat ini.

 5. Muhammad hanyalah manusia biasa, kekadang dia mengalami kemenangan, kekadang dia mengalami kekalahan, sehingga panah musuh pernah mengena ke dadanya ketika dia menuju ke Belgrade pada 1456 Masihi untuk menggugat kekuasaan kerajaan besar selepas Konstantinopel iaitu Hungary.

 Kita boleh membaca kenyataan ini yang dirakamkan di dalam maqam Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri di Istanbul, Turki.

Hakikatnya, Rasulullah S.A.W itu juga manusia biasa, bezanya cuma baginda diberikan wahyu agar kita meneladani baginda kerana baginda diciptakan Tuhan dalam rupa paras manusia, bukan malaikat. Ini bertujuan kita tidak akan memberikan apa-apa alasan lagi untuk tidak meneladani baginda.

 “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, (tetapi aku) diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu. Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.” (surah Al-Kahfi : 110)

 Rasulullah S.A.W sendiri melarang dari dirinya ditaqdiskan oleh umatnya sebagaimana yang dilakukan kaum Nasrani kepada Nabi Isa a.s. Dr. Antonio Syafie dalam bukunya, “Muhammad S.A.W : The Super Leader Super Manager” mengungkapkan satu peringatan yang indah :

 “Nabi Muhammad S.A.W adalah manusia dengan seluruh sifat kemanusiaannya. Sebagai manusia biasa, ia dilahirkan dengan ayah dan ibu yang jelas, bermain, belajar, bekerja, menikah dan memiliki keturunan. Beliau berjalan di pasar, membawa barang dagangannya, menyapu rumah, menjahit pakaian yang robek, memotong daging dan menyiapkan sayuran di dapur.

Beliau juga merasakan apa yang pernah dirasakan oleh manusia lain pada umumnya. Seperti rasa harap dan cemas, miskin dan kaya, lapang dan susah, menyendiri dan bermasyarakat. Sebagai seorang pemimpin, beliau berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di hadapan hukum, memperolehi kemenangan dan kekuasaan, serta merasakan kekalahan dan kesedihan. Tubuhnya tidak terdiri dari besi tetapi daging dan tulang biasa.

 Kulitnya pernah robek, pelipisnya pernah terluka parah dan 2 giginya pernah tanggal akibat terkena pukulan di Uhud. Perbezaannya cuma satu. Satu-satunya yang membezakan baginda dengan kita adalah baginda diamanahkan dengan wahyu (serta mukjizat sebagai alat pembuktian) dan baginda sentiasa dipelihara oleh Allah S.W.T jika melakukan satu tindakan atau pilihan yang kurang tepat. Selebihnya, baginda adalah manusia biasa. Rasul pilihan dan kekasih Allah.”

 Lahir Dalam Keluarga ‘Al-Ghazi’

 Bayangkan, sekiranya anak-anak kita sudah besar panjang, rakan-rakannya di sekolah bertanya kepada anak kita apa yang hebat mengenai ayah kamu, agak-agaknya apa jawapan anak-anak kita ? “Ayah aku ada kereta besar tau!” “Ayah aku ada syarikat besar tau!” “Ayah aku selalu main golf tau!” Apa ertinya hidup kita jika anak-anak hanya berbangga dengan sesuatu yang tidak akan kekal abadi. Apa ertinya mati kita jika anak-anak hanya menyebut-nyebut perkara yang tidak akan menyelamatkan kita di lubang kubur nanti.

 Muhammad lahir dalam sebuah keluarga yang menjadikan jihad dan mati syahid sebagai matlamat utama perjuangan. Berapa ramai datuk moyang Muhammad digelar sebagai “Al-Ghazi” (pejuang) kerana masa mereka di luar istana jauh lebih banyak dari dalam istana. Bahkan ada yang menyatakan serban besar yang dipakai oleh para sultan Othmaniyyah itu adalah bertujuan untuk memudahkan proses mengkapan dan mengebumikan sultan andaikata mereka meninggal dunia di luar istana tetapi tidak gugur syahid di medan perang. Wallahu a’lam.

 Bahkan Muhammad lahir dalam keluarga yang menjadikan Konstantinopel itu sebagai ‘benchmark’ jihad masing-masing. Hampir kesemua enam orang Sultan sebelum Muhammad Al-Fatih telah sampai ke kota Konstantinopel tersebut. Saksikan kenyataan sejarawan berikut : “Othman telah mencetuskan impian. ‘Thunderbolt’ Beyazid telah mencetuskan kepungan. Musa telah memberikan tekanan. Murad II telah menghasilkan perencanaan paling strategik” (Stanley Lane-Poole, “Turkey”, halaman 108)

 Ayahnya sendiri, Sultan Murad II menuju ke Konstantinopel pada 1422 dalam keadaan : Umurnya pada waktu itu baru sahaja 17 tahun Baru sahaja menaiki takhta kerajaan menggantikan ayahnya, Sultan Muhammad I Celebi dan terus menjadikan agenda pembukaan Konstantinopel sebagai agenda pertama pemerintahannya! Faruk Aksoy menerusi filemnya, “Fetih 1453” menggambarkan lagi bagaimana Murad II tidak sempat pun memeluk anaknya Muhammad, bahkan mengukir senyuman pun jauh dari apa yang diharapkan oleh anak kecil yang baru berusia 5 tahun.

 Maka tidak peliklah Muhammad menaiki takhta pada umur 19 tahun sudah mengumumkan pembukaan Konstantinopel itu sebagai keutamaan terbesar bagi beliau sebagai Sultan baru menggantikan arwah ayahnya, Murad II. Hikmah Dinamakan Mehmed Ramai yang mengatakan Sultan Murad II menamakan anak ketiganya sebagai Muhammad sempena mengambil keberkatan dari nama Nabi Muhammad Rasulullah S.A.W.

Penulis berpandangan bahawa Sultan Murad II menamakan anaknya sebagai Muhammad kerana dua faktor  :

1.  Agar anaknya ini akan mencintai Nabi Muhammad S.A.W sehingga sanggup untuk melakukan apa sahaja termasuk merealisasikan ramalan baginda iaitu membuka Konstantinopel sebagai tanda kecintaan pada Rasulullah

2. Agar anaknya meneladani Sultan Muhammad Celebi (1413-1421), ayah sultan Murad itu sendiri. Menurut rekod Profesor Ahmed Akgunduz, Sultan Mehmed Celebi ini telah digelar sebahagian sejarawan sebagai ‘pengasas’ kedua kerajaan Othmaniyyah dan “mujaddid” pada abad ke 9 Hijrah. Ini kerana jasa besar beliau meskipun pada usia yang masih muda, namun berjaya mengembalikan kesatuan negara-negara Othmaniyyah selepas berlaku ujian perpecahan dan perebutan takhta kesultanan yang teruk selepas kewafatan Sultan Yeldrim Beyazid. As-Sollabi mengatakan bahawa Sultan Mehmed I telah mengambil masa 8 tahun untuk memulihkan kerajaan Othmaniyyah.

Sekiranya tiada inisiatif dan jihad ke atas para pemberontak (bughah), nescaya kerajaan Othmaniyyah akan lebur dan musnah lebih awal sebelum kelahiran Muhammad Al-Fatih lagi. Tiadalah pembukaan Konstantinopel itu bisa berlaku tanpa kestabilan semula sebuah kerajaan yang stabil dan kuat di Edirne.

Beliau meninggal dunia pada umur 39 tahun selepas memimpin tentera Othmaniyyah dalam 24 peperangan dan menerima lebih 40 parut luka hasil kecederaan di medan jihad.

 Pedoman Pendidikan “What you give you get back” Percayalah, apa yang anak-anak kecil perlakukan pada kita hari ini berkemungkinan mencerminkan apa yang dahulunya kita perlakukan perkara yang sama kepada ibu dan ayah kita ketika kita kecil.

Maka janganlah cepat merungut dan kecewa seandainya “behavioral genetic” (pewarisan sikap) ini nampak seperti agresif atau mungkin negatif. Allah mahu kita beristighfar bersangka baik pada-Nya dan anak-anak kita, kerana ada dosa-dosa silam yang membabitkan kita dengan ibu ayah kita yang mungkin belum diampunkan, maka Allah ingatkan kita semula melalui anak-anak kita.

Apa yang kita tuai semalam akan kita petik pada hari ini.

 “Don't worry that children never listen to you, worry that they are always watching you.” “The attitude that you have as a parent is what your kids will learn from, more than what you tell them. They don’t remember what you try to teach them. They remember what you are.” (Jim Henson)

 Terjemahan : “Sikap seorang ayah adalah sesuatu yang lebih cepat seorang anak akan pelajari dari ayah mereka berbanding perkataan yang keluar dari mulut ayah mereka. Anak akan lupa apa yang ayah mereka ajari, tetapi mereka takkan mudah lupa sikap ayah mereka itu sendiri.” (Jim Henson)

Bacaan Popular