Wednesday, May 8, 2013

Ulasan Lewat PRU-13.

Oleh : Wan Hasif

1. Saya pasti, hala tuju baharu kerajaan pimpinan DS Najib Razak pasca PRU akan lebih getir dan mencabar.

 2. Kemenangan tipis PRU-13 adalah lebih berbahaya berbanding tsunami PRU-12 pada 2008. Mujurlah sistem demokrasi di negara ini adalah berdasarkan sistem "satu kawasan seorang wakil (one member constituency) dan bukannya sistem "perwakilan mengikut kadar banyak undi didapati (proportional representation).


 3. Di Perancis pada Oktober 1958, Jeneral Degaulle terpaksa mengubah peraturan pilihanraya daripada sistem proportional representation kepada sistem one member constituency bagi mengekalkan kuasanya. Jika tidak beliau dan partinya akan kalah dengan undi popular berbanding jumlah kerusi.

 4. Kemenangan tipis juga berbahaya kerana akan membuka ruang kepada pelbagai bentuk ancaman seperti rasuah, lompat melompat dan undi sokongan ahli dewan rakyat yang tidak konsisten.

 5. Di Ceylon selepas pilihanraya umum pada Mac 1960, parlimen terpaksa dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihanraya baru setelah kerajaan yang baru dibentuk kalah dalam satu undi kepercayaan. Ini bermakna kerajaan yang menang tipis dalam PRU mesti mewujudkan mekanisme kolaborasi strategik dengan ahli parlimen lain bagi mengekalkan sokongan.

 6. Era baharu Malaysia lewat PRU-13 ini akan memperlihatkan "Transformasi" bukan lagi mantra yang mampu membina kepercayaan rakyat yang lebih besar. Transformasi hanya berimpak dalam tempoh tertentu yang singkat. Ia adalah proses radikal yang sementara namun memberi keberhasilan yang berganda.

 7. Rekonsiliasi (reconciliation) kaum (sebagaimana disebutkan beliau sejurus selepas pengumuman) perlu dilaksanakan segera bermula 12.01 pagi 6 Mei 2013 lagi dengan syarat usaha memenangi undi masyarakat cina tidak boleh menggunakan strategi material atau pun paksaan. Ia langsung tidak berkesan.

 8. Mahu tidak mahu, pemimpin terdahulu yang terdiri daripada pelbagai kaum telah bersetuju untuk sama-sama membangunkan negara Malaysia bumi bertuah ini mengikut perlembagaan. Bagi anak-anak merdeka yang tidak berpuas hati, kita perlu bertanyakan pemimpin terdahulu apa tujuan dan justifikasi yang membenarkan impak polarisasi kaum yang terpaksa kita hadapi hari ini. Inilah hakikat yang kita harus telan. 

9. Sauh PRU telah ditarik. Bahtera kini dikemudi BN sebagai nakhoda. Di sinilah cabaran besar DS Najib bermula.

Bacaan Popular