Wednesday, January 1, 2014

SETELAH 60 HARI AMMAR KEMBALI KE RAHMATULLAH


Oleh : Tn Hj Ahmad Azam Abd Rahman 
(Bapa Ahmad Ammar)



Alhamdulillah sudah 60 hari Ahmad Ammar meninggalkan kita semua. Pastinya kehidupan kami sekeluarga begitu banyak berubah. Perubahan yang begitu mendadak. Kami telah menjadi perhatian oleh banyak pihak. Begitu banyak jemputan untuk Sesi Perkongsian yang perlu dipenuhi. Aku dan isteri akan sentiasa mencuba sedaya yang mungkin untuk menghadiri kesemua jemputan. Tak kira jumlahnya kecil maupun ramai. Bagi kami, fenomena Ammar ini bukanlah kehendak kami sebagaimana pemergian Ammar bukan juga kehendak kami. Ini semua adalah kehendak ALlah ta'ala yang Maha Mengetahui lagi Maha Luas RahmatNYA.



Kami yakin bahawa mesej terpenting dari ALlah ta'ala dari pemergian Ammar ialah memperhebatkan gerakan dakwah di kalangan generasi muda. Anak muda yang kalau dapat digilap imannya sejak awal, bakal mencetus perubahan Islami yang amat hebat. Ammar mempunyai sebuah impian dan cita-cita, iaitu untuk menebus maruah umat dari kehinaan dan perhambaan serta penindasan. Cita-cita Khayra Ummah yang belum menjadi realiti, misi rahmatan lil 'alamin yang belum tercapai, pembinaan dunia yang berpaksikan Islam yang masih di alam impian. 



Masih segar dalam ingatanku, Ammar pernah berkata kepadaku ketika pulang bercuti baru-baru ini. Katanya, "Abah, zaman belajar Ammar telah tamat. Sekarang Ammar akan memulai zaman berjuang dan berdakwah". Aku tidak memahami apa maksudnya, lantas menjawab, "Ammar habiskan dulu belajar tu. Baru tahun dua di Universiti. Tamat nanti, berjuanglah ! ". Ammar mengulang lagi kenyataannya yang sama kepadaku. Agaknya untuk menyatakan bahawa dia serius dalam kenyataannya itu. Lantas aku diam dalam kebingungan. 

 Namun setelah 60 hari pemergiannya, setelah aku dan isteri begitu disibukkan dengan begitu banyak Sesi Perkongsian mengenai perjuangan Ammar yang belum selesai, barulah aku mengerti makna yang tersirat dari kata-katanya itu. Anak anak muda begitu ramai sekali yang terkesan dengan kisah Ammar. Yang memohon menjadi 'friend' di Facebook agak ramai juga. Tika aku usai menunaikan solat sunat Jumaat minggu sudah, aku perasaan ada tiga orang anak kecil dalam lingkungan umur 7 tahun berbisik-bisik sesama sendiri. 


Aku syak, mesti ada sesuatu mengenai diriku. Lantas aku menghampiri mereka bertanyakan apa yang dibisikkan itu. Mereka malu-malu bertanya, 'Pak Cik abah Ammar kan 'Aku jawab, Ya ! Nak ikut abang Ammar tak ? Lantas serentak mereka menjawab,'Ahaa !'. Aku terkedu seketika. Begitu juga ketika aku membeli surat khabar di sebuah gerai di Gombak semalam, anak muda yang menjual akhbar tesebut bertanya, 'Ma'af Pak Cik, saya rasa Pak Cik abah Ammar kan ? Aku jawab, 'Ya !'. Lantas pemuda tersebut mencium tangan ku memohon aku mendoakan agar dia juga dapat menjejaki perjuangan Ammar. 


Katanya, dia pelajar Kejuruteraan di sebuah Universiti. Dia menolong ayahnya menjual surat khabar. Katanya lagi, dia amat malu terhadap dirinya yang belum berbuat apa-apa untuk perjuangan umat Islam. Ya ALlah Ammar, baru Abah mengerti akan katamu itu. Nyata sekali, Ammar telah mencetuskan suatu kebangkitan kesedaran Islam di kalangan generasi muda dalam masa yang sangat singkat dan begitu berkesan sekali. Bagaimana dia boleh menjadi pencetus suatu kebangkitan setelah pemergiannya, biarlah kita serahkan kepada ALlah ta'ala sahaja. 

DIA yang merancang sesuatu di luar jangkauan pemahaman manusia . Sebagaimana kisah Nabi Khidir dan Nabi Musa, sebagaimana kisah ashabul Ukhdud dalam surah al Buruj. Apa yang penting, ayuh kita bersama menyingsing lengan menyantuni generasi muda untuk bangkit bagi merealisasikan cita-cita Ammar yang belum kesampaian. 

Ya ALlah bantulah kami.......

#Letsfollowammar

Bacaan Popular