Sunday, April 21, 2013

HINDARKAN PERPECAHAN SATUKAN SUARA

Oleh : Hepi Andi Bastoni 
Belajar Dari Dua Umar -Kenyangkan Perut Rakyat


Jenazah Rasulullah s.a.w. masih terbaring. Di salah satu sudut Madinah, tidak jauh dari pasar, berkumpul beberapa sahabat Rasulullah s.a.w. Mereka adalah kaum Ansar yang sedang membicarakan kepimpinan selepas wafatnya Rasulullah s.a.w. Saad bin Ubadah yang ketika itu sedang sakit, diminta berbicara. Dia adalah tokoh terkemuka Bani Saidah dalam kalangan Khazraj yang juga termasuk di antara peserta Baiatul Aqabah Kedua. Oleh itu, pada masa itu suaranya lemah, dia pun menyuruh salah seorang putera untuk mengulangi kata-katanya dengan kuat agar didengar oleh semua yang hadir. 


 Ibn Jarir at-Thabari mencatat ucapan Saad bin Ubadah ini dalam Tarikhnya. (juz 11/242). Intinya, kaum Ansarlah yang berjasa besar mendukung dan melindungi Rasulullah s.a.w. dalam berdakwah. Oleh itu, setelah Rasulullah s.a.w. wafat, kepimpinan tidak boleh berada di tangan orang lain. ”Pimpinan itu hakmu dan bukan hak siapa pun selain dirimu,” demikian Saad menutup kata-katanya. 

Kaum Muhajirin yang masih berkerumun di sekitar kediaman Rasulullah s.a.w. mendengar adanya pertemuan di Tsaqifah Bani Saidah. Mereka berduyun-duyun ingin pergi ke tempat itu. Namun segera dicegah Abu Bakar. Akhirnya, mereka sepakat untuk mengutus Abu Bakar as-Siddiq, Umar bin Khattab dan Abu Ubaidah bin al-Jarrah. 

Ketiga-tiga tokoh itu masih sempat mendengar bahagian akhir kata kata Saad bin Ubadah. Dapat dibayangkan betapa marahnya Umar. Dia berhasrat mara dan membantah ucapan Saad. Namun Abu Bakar segera mencegahnya. 

Tokoh senior yang disegani semua pihak ini segera menenangkan suasana. Dia berbicara cukup lama, memuji kedua-dua belah pihak: Ansar dan Muhajirin. 

"Wahai sahabat Ansar! Tidak seorang pun yang boleh menyangkal keutamaan kalian. Allah telah memanggil kalian dengan Ansar (penolong), sama ada bagi agama mahupun bagi Rasul-Nya. Setelah Muhajirin, tidak ada yang mempunyai keutamaan seperti kalian. Kami adalah ’umara’ (pemimpin) dan kalian adalah 'wuzara' (menteri). Kalian adalah tempat berunding. Tidak ada keputusan tanpa kalian.” ucap Abu Bakar.

Meski kata-kata Abu Bakar sesejuk salju, tapi kerana sebelum itu kalangan Ansar telah mendengar kata-kata Saad bin Ubadah, di antara mereka segera menyanggah ucapan Abu Bakar yang menyebut mereka sebagai wuzara’. Khabab bin Mundzir segera berdiri. Kata-katanya cukup tajam menusuk telinga. Di akhir ucapannya dia berseru kepada para sahabatnya, 

"Jika mereka enggan menerima kenyataan ini, maka jalan satu-satunya adalah: Kita punya amir (pemimpin) dan mereka punya amir.” 

Tidak terbayangkan kemarahan Umar. Dia pun segera berseru,
 "Tidak! Tidak mungkin dua kelompok berada dalam satu tanduk. Allah tidak akan reda kalian memegang kekuasaan kerana Nabi bukan daripada kalangan kalian." 

Kata-kata Umar itu kembali membakar emosi kaum Ansar. Khabab bin Mundzir membalas dengan kata-kata yang agak tajam. Bahkan, di akhir ungkapannya dia berkata kepada para sahabatnya, 

"Demi Allah, jika kalian mahu, mari kita ulang sejarah lama."

Umar benar-benar tidak kuasa menahan emosi.

"Allah akan membunuhmu!” seru Umar. "Engkau yang akan dibunuh Allah!" balas Khabab. 

 Ketegangan benar-benar memuncak. Perkelahian antara saudara menjadi tegang. Di tengah ketegangan itulah Abu Ubaidah al-Jarrah segera maju ke depan. Pembawaannya yang penuh wibawa mampu meredam suasana. Dia pun berucap perlahan tapi tegas, 

"Wahai para sahabatku daripada kaum Ansar! Kalian adalah pihak yang pertama-tama membantu. Janganlah kamu menjadi orang yang pertama kali juga berubah pendirian," Kata-kata Abu Ubaidah singkat tapi benar-benar menusuk ke dalam hati kaum Ansar. 

Mereka diam dan menundukkan kepala. Basyir bin Saad, salah seorang tokoh utama daripada suku Khazraj segera berkata, 

"Saudara-saudaraku daripada kalangan Ansar. Kita semua memperoleh kedudukan mulia dan paling utama dalam berjihad. Semua itu kita lakukan tidak lain untuk mengharapkan reda Ilahi dan tunduk kepada Muhammad. Lalu, layakkah kita mempersoalkan mengenai kepimpinan? Bukankah Muhammad itu daripada suku besar Quraisy. Kaumnyalah yang lebih berhak untuk memegang pimpinan. Demi Allah, aku sendiri merasa tidak patut mempersoalkan masalah ini. Mari kita bertakwa kepada Allah dan jangan saling berbantah.” 

 Kata-kata bijak itu menyentak suasana tegang. Semua menarik nafas lega. Suasana segar itu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Abu Bakar untuk lebih mententeramkan suasana. Dia pun mara ke hadapan dan berkata, 

"Mari kita tumpukan perhatian kepada dua orang. Mari kita pilih Umar ataupun Abu Ubaidah!" 

Hampir serentak kedua-duanya spontan berkata, 

"Tidak! Kami tidak akan menyerahkan pimpinan kecuali kepadamu. Engkau tokoh termulia daripada kalangan Muhajirin. Orang kedua di dalam Gua Tsur. Pengganti imam solat setelah Rasulullah s.a.w. wafat. Tidak ada yang layak selain engkau. Hulurkan tanganmu, kami akan membai’atmu." 

Kedua-duanya segera berjalan ke arah Abu Bakar untuk membai’atnya. Namun, mereka didahului Basyir bin Saad yang segera memegang tangan Abu Bakar dan membai’atnya. Tindakannya itu seolah-olah pancaran arus elektrik yang menyentakkan kesedaran kaum Ansar. Mereka pun berasak-asak membai’at Abu Bakar. Tidak cukup sampai situ, mereka beramai-ramai menghantar Abu Bakar ke Masjid Nabawi dan bai’at pun berlangsung secara umum.Terpilihnya Abu Bakar as-Siddiq sebagai khalifah pengganti Rasulullah s.a.w. 

Itu merupakan hasil daripada segala kemampuan para sahabat mengendalikan emosi dan menghapuskan ego. Keimanan dan cinta pada Islamlah yang mampu meredam, mengendalikan dan menghapuskan fanatisme kesukuan. 

 Pada masa sekarang, kemampuan menghapuskan segala fanatisme kesukuan dan egoisme diri itu kembali dituntut. Bukan untuk sekadar menguji keimanan, tapi musuh terlalu besar untuk kita hadapi bersendirian. Kita memerlukan para pemimpin yang tidak hanya mampu memimpin parti, organisasi, ataupun suku. Tapi juga, pemimpin yang lapang dada dan berjiwa besar diterima banyak kalangan dan semata-mata berjuang untuk Islam.

 Tidak ada yang mampu meredam segala bentuk perpecahan yang dilatari pelbagai kepentingan, selain cinta kepada Islam secara benar. Kemampuan mengendalikan emosi kepentingan, berbanding lurus dengan tingkat kebenaran cinta pada Islam. Semakin baik kecintaan kita, semakin besar kemampuan kita mengendalikan emosi dan menghapuskan ego. Para sahabat Rasulullah s.a.w. telah menunjukkan kemampuan mereka. Itu yang harus kita teladani.

Bacaan Popular